Saturday 26 November 2011

Batasan Waktu

di saat perbatasan waktu yang cemburu
sempat mendongak  wajah ke angkasa biru
berjejaran awan menghiasi haru
dalam kelabu hati yang semakin rindu
kepada yang Maha Penentu

di telapak tangan garisan beribu
tiada siapa tahu apa makna di situ
jejari mulus menghitung satu persatu
bertasbih bertahmid memohon restu
kepada-Nya sujud tawaduk membungkus kalbu

setiap langkah tersusun madah
bukan helah menongkah takdir
andai bayang penentu syahadah
tak akan mungkin iman menjadi goyah
sedang dalil terpeta nyata
masihkah bertegang menentang fakta
dari qalam dan sunnah yang ada

kembalilah ke perbatasan waktu
bersama rindu suci yang syahdu
akan tercerna sebuah keinsafan
setelah melangkah tahun penentu
setiap amal tingkah dan laku
pastinya terhitung satu persatu
saat mulut terkunci bisu

Abdullah Tahir
27 November 2011

Monday 21 November 2011

Tidak Hanya Yang Zahir


turunmu kuat sekali
getarnya bingit sangat di atap
bicaraku tak mampu menungkah
dalam bilik yang tak bersiling
di luar kau mengganas
mengguyur mencipta alur
melebar menjadi bah
tidak bisa menghitung titikmu
tiba-tiba saja kaki terendam
sejuk dalam genang air
bicara menjadi beku dan bungkam
dimana-mana air membanjir
melungsur runtuh bukitan dan gunung
melintang pukang kayu dan balak
bungkam dan tepu segala fikir
air yang cair adalah banjir
mengukir peristiwa mutakhir
dan DIA tak akan hanya menurunkan yang zahir
tersirat akan hadir
bagaikan musafir dan fakir
andai mereka mampir
jangan di usir kerana lahirnya
hulurkan bicaramu bersama mubaligh

Abdullah Tahir
11 November 2011

Tiada Waktu

perjalanan ini bagaikan di hujung senja
tiada waktu untuk membilang saat dan minit
apalagi menghitung langkah ke depan mengejar hari
jalan-jalan berdebu terus saja menghadang pandang
matlamat dan misi semakin jauh meninggalkan diri
mampukah harapan jadi realiti
sedang antara kita terus menghitung untung dan rugi
atas nama kepentingan peribadi

tiada waktu untuk mengungkap bicara
hari demi hari berguguran bagai dedaun meredup bumi
akan ada lagikah ruang menghujah kata
sedang kesempatan yang ada disalah guna
hujah dan bicara meleburkan suasana mesra
menjurus fitnah membuahkan sengketa
menjarakkan jurang memisahkan keakraban
lalu matlamat dan misipun bertaburan

tiada waktu memulakan langkah
mengubah tuju haluan dan arah
setiap jiwa di hantui gundah
berhujah bermadah berbuah padah
kerana hati bersalut amarah
muhibbah tumpah hormatpun punah
jadilah bangsa tiada bermaruah

 Abdullah Tahir
23 Oktober 2011

Aku Adalah Pemuka Pencapai Syurgamu


telahku lunaskan jasamu
dengan degup nadiku yang kencang
bersama juraian airmata pekat
di atas sejadah setia
menyaksikan aku di hadapan-Nya
dalam kegelapan malam pekat
yang getar dan panasnya
tidak bisa kau rasakan
walau halusnya deria kulitmu
menyentuh setiap sudut sanjunganku
layakkah aku memperlihatkannya
kalau hanya cuma keegoanku
bagi memenangkan betapa tajamnya cintaku
agar duri-duri kasihku
menikam pada baloi sayangmu
yang kau tumpahkan dengan kesetiaanmu
tanpa bicara lebih kepada perbuatan
dengan urat dan tenaga
tanpa mengukur waktu
yang setiap darah setiamu
mengalir menuju pintu-pintu syurga
yang terpilih
dan aku hanyalah pemuka
rintis laluan mudahmu
mencapai syurga

Abdullah Tahir
29 Oktober 2011

Thursday 17 November 2011

Sinar Yang Belum Pasti

by Abdullah Tahir on Tuesday, October 4, 2011 at 10:09am
puing-puing kehidupan
terus bertiti di bumimu
bertali temali bagai benang merah
merangkai keturunan
membariskan genarasi-genarasi sukar
membesar dalam derita
di bumi gersang dan tandus berdebu
tempat darahmu tumpah
dan bernafas
mencari sinar yang belum pasti ada di mana
sekepal nasi sebuku roti
sukar didapati
air setitik beribu nyawa derita meminta
somalia
akan mampukah bumi dan langitmu
membebas derita rakyatmu

Hidup Ini

by Abdullah Tahir on Wednesday, November 16, 2011 at 9:14am
 
 
hidup ini semakin singkat dan sendat
ruang-ruang yang ada menyepi 
bagai menuju malam yang kelam dan ngeri
tiada waktu yang tepat
kapan diri akan sendiri
menutup pintu yang terakhir

saat usia semakin hampir mengundur diri
lalu diripun seakan tidak terpeduli
kerana qualiti semakin mati
bicara dan fikir tidak bererti
siapakah yang mahu memahami
sedang dalam lingkunganpun menghindar diri
akhirnya bersendiri
menjalani hari-hari akhir
meningkatkan taat dan menanti takdir
menghitung waktu dengan berzikir
atas sejadah yang tak pernah mungkir

 
Get Free 3 Column Templates Here