Wednesday 27 February 2013



Seteguh Kitabullah


Yakinku seteguh kitabullah
yang tak akan berubah
memandu ummah
hidup ini pasti berakhir
di suatu pertemuan
di padang yang penuh bertimbangan
biarpun kita menapaki jalan selari
yang tiada titik pertemuan
tetapi tetap menjanjikan suatu destinasi
berlandaskan niat dan cita.

Kenapa mesti memaling nawaitu
sedang kehidupan di sini semantara
mencari bekal bagi sebuah kehidupan yang kekal
meski warna hidup yang berbeza
pastinya Dia maha tahu
akan hikmahnya
selagi kita menuruti sunnah.


Abdullah Tahir - 27 Februari 2013

Sunday 24 February 2013



Hadirlah Bersama Hati

saat kaumendongak bendera berkibar
hadirkan dirimu bersama hati
letakkan mindamu di puncak tiangnya
tanpa ragu sepadukan ragamu
dengan semangat patriotism yang kental
bendera adalah peribadi bangsa
pendaulatan kepada raja dan bangsa
tanpa kesal kita tanamkan benih syukur
yang setiap bahu dan pundak warganya
adalah pendokong tulin pada sebuah negara
mencapai kemajuan,

Abdullah Tahir - 24 Februari 2013

Monday 18 February 2013




Kitalah Warganya

di sini bukanlah sebuah dermaga
untuk suatu persinggah
bagi penerusan perjalanan
kerana kita adalah hati
bagi sebuah penempatan bernama kampung.

setiap nafas yang berdenyut
pastinya perjalanan ke sebuah titik akhir
namun ia adalah hayat
pencorak kepada kesejahteraan
dan kemakmuran
kerana kitalah warga
pencetus idea mewarnai erti
Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.

janganlah jadikan kampung
sebuah dermaga
tanpa hati kausertakan didalamnya.

Abdullah Tahir - 18 Februari 2013

Saturday 16 February 2013


Tiada Gangguan Talian

hujan rahmat berjatuhan
membasahi daki-daki dosa
berciciran mendap pada gersang hati
yang alpa mengesakan-Nya
setelah sering terbuai hanyut
dalam limpahan kesenangan hayat.

saban waktu tiada ruang bicara
mengutus zikir dan tahmid
sedang talian-Nya tiada gangguan
cukup penyempurnaan solat
lima waktu sehari
kerana Dia amat pengasih dan penyayang
bagi mereka tahu diri.


Abdullah Tahir - 13 Februari 2013



Thursday 7 February 2013



Lidah

terluka hati
terencat akal
tercuka wajah
terkunci mulut
kerana tikaman lidahmu.

terpesona mata
tergelora hati
terusik jiwa
termimpi rindu
kerana tarikan lidahmu.

terpikat hati
termasuk akal
terpengaruh jiwa
kerana pitahnya lidahmu.

lidah itu pedang
lidah itu hati dan budi
lidah itu akal dan ilmu
lidah itu pembelit
lidah itu fitnah.

sebaik-baik lidah
berzikir kepada Allah
seindah-indah lidah
elokkan madah.


Abdullah Tahir - 7 Februari 2013.

Sunday 3 February 2013















Tajam Matamu

saat getar hati
di puncak rindu
kamar hatimu terketuk
aku masuk di pintu matamu
apakah ada aku di sana
kerana matamu
tajam mengundang
degup jantungku.

Abdullah Tahir - 2 Februari 2013


Friday 1 February 2013

SCULPTURE ALAM


kaumasih terhormat
sejarah lalumu
tercatat kemas dalam lipatan
pada hati setiap yang mengenalmu
kauadalah penyumbang keindahan
dan keutuhan lingkungan
kaulah sumber kepada yang berkepentingan
keberadaanmu di sini
menjadi wadah dan ilham
membangun minda.

kini
meski tanpa dibaluti kehijauan
dan rimbun dinginmu
kaukekal berbakti
dengan cara dan gayamu
memukau mata
mencabar minda
pada baktimu sebagai sculpture alam.


Abdullah Tahir - 1 Februari 2013.

 
Get Free 3 Column Templates Here