Friday, 27 January 2012
Benang Kehidupan
benang-benang kehidupan yang berona
adalah sutera indah untuk dinikmati
kenapa harus direntangkan benang merah
di antara hitam putih perjalanan
sedang kebahagiaan perlu dibina
melalui hati cekal dan tegar
dalam mencari redha-Nya
lalu usah jauhkan diri dari-Nya
jangan pernah turutkan derita hati
kita bukanlah reja-reja yang terbuang
yang tak bertempat
masih ada ruang membetulkan diri
lorong berliku itu ujian dan ketahanan iman
kita adalah hamba pilihan-Nya
calon mendiami alam syurgawi
Abdullah Tahir
Monday, 9 January 2012
Kita Bukanlah Siapa-Siapa
kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
akan membusuk dimamah tanah dan cacing
bila waktu dan saat berdenting
bagai dedaun gugur dari ranting
dan kering
kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
membentuk wajah dan rupa
elok dipandang dan dirasa
bijak bicara dan menggoda
menutur beribu kata
yang mempesona
kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
dengan nyawa yang dipinjamkan sementara
lalu kita bernafas dan bergerak kemana-mana
menikmati alam semesta
tanpa peduli siapa menjadikan kita
kita hanya tahu dilahirkan ke dunia
dipelihara oleh ibu dan bapa
dari kecil hingga dewasa
kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
dilengkapi dengan anggota
bernama manusia
berbeza daripada haiwan yang melata
lahir ke dunia fana
kan berakhir di alam baka
sama ada ke syurga atau neraka
bergantung pada pahala dan dosa
makanya kita bukanlah siapa-siapa
kepada yang maha pencipta
selain dari tunduk dan mengabdi kepada-Nya
Abdullah Tahir
9 Januari 2012
Sunday, 1 January 2012
Terus Melangkah dan Menapak
akan terus melangkah dan menapak ke hadapan
kiranya di belakang terpaksa di tinggalkan
bagi mencapai era baru yang tiada siapa tahu apa?
.kita tidak punya kompas penentu arah
meramal apa yang bakal terjadi
selain dari akal dan pendirian penuh yakin
bahawa kita tidak bisa bertahan selamanya
dalam kolong waktu yang mencatat seribu kenangan
hitam atau putih yang membungkus hidup
adalah sebuah pelajaran nyata untuk maju ke depan
siapakah yang bisa mengatur jalanan hidup
dengan memulakan langkah demi langkah
dengan membuka lembaran lama
sambil menyesali setiap kesilapan
sedang kesilapan dan kelalaian itu telah tercatat
sebagai sebuah dosa atas kebodohan diri
sedang DIA telah memperingati
dengan seribu cara dan tamsil
lalu di hadapan adalah ruang baru
tancapkan segala urat nadi dan tali fikirmu
bahawa dengan kebodohan lalu
tidak akan terulang lagi
dan percayalah
pelangi yang merentang warna
tak akan lahir tanpa ada air dan sinar mentari
Abdullah Tahir
1 Januari 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)