Tuesday 30 March 2010

Haiku 'OMBAK'

ombak menderu
bagai berlagu
pantai membisu

ombak berteriak
camar berlagak
patah kepak

ombak menghempas pantai
ru tekulai
lalu tersadai

ombak berombak
pantai terkopak
bagaimana melepak?

ombak mengganas
terus-terusan menukas
siapa yang tempias?

ombak mengalun
pantai terbalun
ramai yang berlakun

ombak mendesau
pantaipun risau
murai berkicau

ombak tenang
pantai girang
uda dan dara bertandang



Abdullah Tahir
31 Mac 2010

Pewaris

ayahanda
kiranya kau dapat melihat
betapa anakmu
gagal membentuk warisan
dengan ilmu akhirat
dengan ilmu adab dan sopan
tentu kau kecewa
kerana anakmu
berada dalam kehebohan
internet
dan multimedia super coridor

ayahanda
kiranya kau dapat melihat
betapa anakmu
dalam igaunya
sering diulit zaman ayahanda
kudus dan murni
dalam arus kehidupan

ayahanda
alangkah bisainya
saat kehebohan internet
saat kelahirannya multimedia super coridor
warisanmu tidak alpa
bahawa ayahanda
adalah contoh pewaris


Abdullah Tahir
September 1997

Monday 29 March 2010

Yang Begitu-Begitu

Bahu jalan yang kedudukannya antara longkang/parit dengan jalan raya [sepanjang jalan] selain dari mengukuhkan struktur jalan agar tidak terhakis, ia juga dijadikan tempat selamat bagi pemandu-pemandu kereta jika terjadi kecemasan. Kadang-kadang pejalan kaki pun menggunakan tempat ini. Disebahagian besar jalan raya, di bahu jalan ini digunakan juga tempat mendirikan tiang-tiang lampu jalan, tiang-tiang kabel telefon, pili-pili bomba bahkan di bahu jalan ini jugalah tertanamnya segala macam kabel dan saloran paip air. Dibeberapa kawasan dimana terdapatnya rumah-rumah penduduk ditepi jalan, bahu jalan dijadikan tempat letak kereta tetamu atau jemputan yang diundang bagi menghadiri majlis-majlis seperti majlis perkahwinan dan sebaginya. Lebih-lebih lagi apabila terjadi kematian, akan berderetlah kenderaan diletakkan sepanjang bahu jalan.

Jalan raya akan nampak indah dan kemas apabila dibahunya ditanami rumput - sebahagiannya tumbuh secara semula jadi - atau dibubuh dengan konkret. Adapula ditanami dengan pokok-pokok rendang atau pokok-pokok bunga-bunga. Memang indah dan kemas kalau tidak ada tangan-tangan yang mencemarinya.

Fokus yang ingin diketengahkan disini ialah kurangnya pemantauan akan kesejehteraan dan kesempurnaan bahu jalan tersebut berbanding dengan peranan, keperluan dan kepentingan yang diberikannya. Sebagai contoh:  pemotongan rumput yang tidak konsisten dan tidak menepati apa sebenarnya yang dimahukan dengan maksud pemotongan rumput. Dalam keadaan seumpama ini tidak hairanlah kalau mata kelimpanan melihatnya apabila rumput yang baru dipotong itu macam tidak berpotong - masih tebal - Kalaupun ada bagaikan pepat jambul. Bernasib baiklah kalau kemarau berpanjangan rumput jadi kekuningan dan mati. Akan lebih mudah pula kerja pemotong kalau rumput tersebut terbakar hangus.

Selain keadaan rumput yang begitu-begitu, dikawasan-kawasan tertentu adapula bahunya rendah dari permukaan jalan ditambahkan lagi dengan keadaannya yang berlopak disana sini dan terdapat sisa-sisa pembuangan yang juga mengelimpanankan mata.

Berfikir secara tonggang terbalik kitapun akurlah. Manalah sesuatu itu dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna. Ibarat kata peribahasa gading mana yang tidak retak. Tinggal lag setiap orang pasti bercita-cita mahukan yang terbaik, terindah, tersempurn, tersejahtera, terselamat dan segala yang termurni .Pendeknya berbaloi.

Sunday 28 March 2010

Malang atau Takdir?

16hb Mac yang lalu saya bersama dua orang teman ke Kota Kinabalu melalui jalan darat. Perjalanan dari kampung saya ke KK mengambil masa hampir 8 jam setelah singgah di Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah untuk memasuki Limbang. Kemudian menaiki feri di Pandaruan menuju ke Temburung dan sekali lagi berhenti di Pos kawalan Imigresen Labu untuk masuk ke Lawas. Sebelum sampai di Lawas terpaksa pula menaiki feri di Terusan. Perjalanan diteruskan dan singgah di pekan Lawas untuk minum pagi sebelum menuju ke Pos Kawalan Imigresen Lawas bagi memasuki Sepitang Sabah. Dari sini perjalanan tidak berhenti menuju ke Beaufort seterusnya sampai ke Kota Kinabalu kira-kira jam 12.45 petang. Dari Beaufort kita melintasi Membakut, Bongawan, Kimanis, Papar dan Putatan sebelum sampai ke KK.

Perjalanan memang memenatkan tapi seronok kerana inilah kali pertama saya ke KK menggunakan jalan darat. Di KK kami menginap semalam di Hotel deLeeTon. Dihadapannya terdapat pasar raya Centre Point.

Selama beberapa jam berada di KK ada hal-hal yang mungkin tak akan saya terlupakan. Selain kemesraan dan keramahan penduduknya yang sebahagian besarnya menggunakan bahasa Melayu yang seakan-akan bahasa Brunei, saya teruja mendapati banyaknya terjual makanan/kuih tradisi jenis kering di pasar-pasar atau gerai-gerai jualan. Ikan masin dan berbagai kraftangan. Manakala di kawasan letak kereta berdekatan hotel tempat kami menginap seawal pagi boleh menjamu selera dengan terjualnya kuih-muih, nasi dan mee yang beraneka jenis.

Di pasar raya Centre Point saya juga teruja melihat banyaknya gerai / ruang yang menjual handphone dan prepaidnya. Dengan tawaran harga yang murah apalagi kalau dikira dengan nilai ringgit Brunei tidak hairan pula bila kita mendapati setiap anak muda bahkan orang dewasa pun yang bersembang dan mundar-mandir di pasar raya tersebut memiliki handphone. Tidak kiralah berapa harganya yang penting alat ini suatu keperluan yang mesti dimiliki.

Esok paginya kami bertolak dari KK. Dalam perjalanan balik ke Brunei kami singgah di Tamu Sepitang. Disini pun beraneka barang ada terjual. Biasalah yang namanya tamu. Tengah hari kami singgah di Pekan Lawas untuk makan tengahari. Teman-teman saya setuju yang masakan jenis karinya di kedai ini sedap.

Dalam saat menunggu giliran menaiki feri di Terusan, kami dikejutkan oleh berita dari seorang rakan yang juga dalam perjalanan balik ke Brunei yang menceritakan dia nya kehilangan kereta di KK. Kereta tersebut baru 3 bulan dibelinya. Memang sedih. Memang tidak disangka hal seumpama ini terjadi juga di KK. Saya mau tidak mau terbeban hati ikut serta merasa sedih. Bagaimanapun bersyukur yang kami tidak menerima musibah tersebut.Bukankah itu juga dinamakan takdir. Malangpun memang tak berbau.

Saturday 27 March 2010

Pertemuan

aku dalam teka-teki
antara kebahagiaan dan kesangsian
kerana kesedihan menjengah saat pertemuan
yang duka tersembunyi
di wajah ceriamu

aku tidak terdaya
mentafsir
di saat kemesraan tercipta
ada sendu
dan air mata
mengiringi pertemuan

sayang
jangan warnakan
pertemuan kita
dengan air mata dan sendumu
kerana aku jadi sangsi dan derita

pertemuan adalah kebahagiaan
meskipun perpisahan
adalah penyiksaan
kerana
ia adalah kerelaan bersama
bagi sebuah kehidupan yang murni


Abdullah Tahir
25 Julai 1994

Di Sebuah Gerai

hari itu
kita di sini
di sebuah gerai terbuka
jauh dari pandangan mata
bersama meneguk minuman
melepaskan kehausan
dan kerinduan

walau sekadar oren campur
di gerai yang tak teratur
kita terhibur
dan kasih 'kan subur'


Abdullah Tahir
15 November 1993

Friday 12 March 2010

Rakanpun Dia Keluargapun Dia

Berjumpa dan berpisah adalah perkara biasa. Berpisah sering menjadi orang bersedih. Bila bertemu kembali tentu banyak perkara yang akan dicakapkan. Topik perbualan tak terlepas dari hal-hal peribadi dan berlanjutan kepada perkara lingkungan yang sendiri masih terasa berperanan atau setidak-tidaknya merasa prihatin akan keadaan sekeliling.

Dalam suatu majlis bagi pemilihan PIBG sebuah sekolah baru-baru ini saya berpeluang menemui seorang sahabat (rakanpun dia, keluargapun dia ). Selalunya apabila bersamanya banyak perkara yang dibual-bincangkan. Biasalah, kami berdua terasa begitu dekat. Secara peribadi saya amat menghormati dan menghargainya. Fikirannya tegas tetapi bersahaja. Dia mempunyai prinsip dan kuat disiplin. Mungkin dia terbiasa dengan kegiatan yang diceburinya sejak lama iaitu 'Pengakap".

Semasa di luar negeri waktu mengikuti kursus pentadbiran selama hampir 9 bulan, dia adalah sahabat dan dialah juga saya anggap abang. Jauh diperantauan menuntut kita mencari seseorang yang dapat memberikan kita panduan, nasihat dan teguran andaikata tersasar. Maklumlah berada jauh dari keluarga macam-macam boleh terjadi.

Demikanlah peranan seorang sahabat. Kita tidak pandang kedudukan seseorang untuk dijadikan sahabat, tapi kejujuran dan sikap hormat-menghormati sesama sendiri adalah asas yang amat ideal.

Wednesday 10 March 2010

Naik Liat Turunpun Liat

Bukanlah maksud di hati hendak menjaga tepi kain orang, tetapi sebagai suatu bangsa yang menghormati apajua kehendak negara, rasa macam terpanggil untuk membuat sedikit komentar agar sama-sama membetulkan keadaan. Tidaklah akan ada perbezaan antara seorang rakyat dengan rakyat yang lain dalam sesebuah negara, bernaong dalam sebuah negara yang berdaulat, menjunjung seorang raja yang dikasehi dan mengamalkan konsep MIB yang menjadi teras dan kebanggaan semua.

Pengibaran bendira sempena hari Kebangsaan telahpun berakhir pada 31hb Februari 2010 yang lalu. Sedikit masa lagi pada bulan Julai akan datang rakyat dan penduduk negara ini akan diminta lagi untuk mengibarkan bendira sempena meraikan Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan. Tetapi yang ingin dipaparkan disini ialah masih terdapat ramai yang liat menurunkan bendira setelah berakhirnya pengibaran bendira sempena hari kebangsaan yang lalu pada 31hb Februari. Sudahlah menaikkan bendirapun liat, menurunkannya pun macam "tak ingau".

Pengalaman-pengalaman yang lalu, masih terdapat kalangan mereka yang bersikap seperti ini. Sikap acuh tak acuh dalam menaik dan menurunkan bendira negara seperti ini sungguh menyebalkan. Dalam keadaan ini tidak hairanlah terdapatnya bendira yang terus berkibar siang malam sehingga sampai kesuatu perayaan yang akan datang. Akibatnya bukan sahaja melanggar pantang bernegara, tetapi akhirnya bendira tersebut menerima nasibnya sendiri apabila ia bertukar corak dan warna. Lebih malang lagi bendira tersebut akan berambu-rambu dan carik setelah terdedah dalam keadaan hujan dan panas serta angin yang terus mengibarkannya.

Persoalannya sekarang ialah dimanakah letaknya kedaulatan bendira negara yang menjadi lambang dan peribadi negara tempat kita berlindung didalamnya.

Saturday 6 March 2010

Penceramah Bercakap Pendengar Berceramah

Ingatan yang dibuat oleh bilal sebelum khatib naik ke atas mimbar untuk berkhutbah sewaktu sembahyang fadu Jumaat amat elok dijadikan panduan, kata-kata " Apabila khatib naik ke atas mimbar, janganlah seseorang pun yang hadir berkata-kata, kerana barangsiapa yang bercakap atau berkata-kata sia-sialah ia dan tidaklah sempurna Jumaatnya", patut benar dijadikan ingatan.

Baru-baru ini saya menghadiri majlis ceramah sempena sambutan Mauludil Rasul. Saya anggap ceramah tersebut sebagai majlis ilmu. Memangpun setiap ceramah yang menyentuh hal-hal berkaitan dengan ketuhanan dan kenabian di dalam Islam sesungguhnya amat berharga dan berpahala. Apalagi bila sejarah dan perjuangan Nabi Muhammad saw menjadi topik dan agenda ceramah. Sepatutnya kita berusaha mengikutinya bila telah hadir ke majlis tersebut. Memang itulah tujuan untuk kita hadir.

Tetapi bila penceramah bercakap yang hadirpun bercakap sehingga suara cakap tersebut lebih besar daripada penceramah apa yang akan terjadi? Dan itulah yang terjadi ketika itu. Saya dan beberapa orang yang cuba mengikuti kandungan ceramah yang disampaikan oleh penceramah yang diundang khas oleh pihak penganjur menjadi hilang fokus. Hilang penumpuan. Saya dan beberapa orang yang berhajat untuk mendapat ilmu itu menjadi sia-sia.

Ada beberapa hal yang mungkin terjejas bila keadaan ini terjadi. Selain diri kita sia-sia dan tidak mendapat apapun pahala dan pengetahuan dari ceramah yang dibentangkan oleh penceramah, penceramah mungkin saja terasa hati, pihak penganjur mungkin juga merasa tidak selesa sebagaimana yang hadir rasai, terutama yang duduk bersebelahan dengan yang bercakap. Hormatilah penceramah, hadirin yang lain dan bahkan pihak penganjur.

Saya tidaklah mempersoalkan apakah ceramah itu menarik atau tidak? Apakah penceramah berjaya menarik tumpuan pendengar atau tidak? Siapakah dia penceramahnya? Apapun keadaan tujuan kita hadir adalah untuk mendengar ceramah bukan kita yang berceramah. Tepuklah dada tanya selera.

Monday 1 March 2010









Syafiah Humairah
(.........kau kurasa bagai darah dagingku)

dalam usiamu yang tak mengerti apa-apa
kau sepatutnya dibelai mesra
bukan didera
kau sepatutnya dilindungi
bukan ditendang
bukan dienjak
kau tidak tau apa-apa
tau mu hanya bahagia
tau mu hanya ketawa
tau mu hanya ada
dan kau gembira ceria
jika tiada
tau mu hanya menangis
meringis
sepatutnya kau dibelai mesra

kenapalah kau disiksa
apakah dosa
dan salahmu
hingga kau menderita
sekujur tubuh lembutmu
rosak binasa
bagai benda tidak berguna
merana
dan tak bernyawa

Syafiah Humairah
aku menangis
aku menangis
aku menangis
Syafiah Humairah
betapa azabnya kau
betapa siksanya kau
pasti kau tak tertanggung
pasti kau tak tertanggung
apalah kudratmu
hanya sekujur badan yang lembut dan comel
ya Allah
subhanaallah
hanya Allah lebih mengetahui
kesakitan dan penderitaanmu
hanya Allah lebih mengetahui
takdir yang menimpamu
Syafiah Humairah
doaku
bersemadilah kau dengan aman
tenang
janji Allah
pasti akan kau terima
sebaiknya


Abdullah Tahir
26 Februari 2010

 
Get Free 3 Column Templates Here