Saturday 29 May 2010

Suatu Perintah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
apalagi kau letak dikaki
demi tugasmu berintegritilah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kenapa tidak kau junjung di kepala
demi tugasmu berwibawalah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kalau terasa berat
untuk selamat bermuafakatlah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kalau terasa ringan
elakkan dari memasang angan

kalau sudah tergalas di bahu
kau harus berintegriti
kau harus berwibawa
kau harus bermuafakat
kau tidak harus memasang angan
dalam mencari kesenangan
yang kau rancang

kalau sudah tergalas di bahu
ia suatu amanah
suatu tanggungjawab
yang menuntut suatu keikhlasan
dan kejujuran 
demi bangsa dan negara

bersyukurlah
kau adalah antara yang terpilih
untuk memegang amanah
di bahumu tergalas
suatu perintah
khalifah


Abdullah Tahir
29 Mei 2010

Friday 21 May 2010

Akal

fahamlah
berfikir suatu hal
mencari akal
bukan senang kalau tak berakal
bila dapat akal
lagi suatu hal
adakah akal itu pukal?
kalau tak pukal
senang-senang kena sangkal
bila kena sangkal
macam buah mengkal
yang berakal pun 'mengkal hati'


Abdullah Tahir
22 Mei 2010

pukal=bernas
mengkal hati=marah dalam hati

Tidak Hanya  Pelajaran

Mesyuarat PTA yang diadakan baru-baru ini berjalan dengan sederhana dalam suasana kekeluargaan. Selain kehadiran yang tak menggalakkan memang sukar pula mendapatkan pandangan dan cadangan yang baik untuk memajukan PTA, tapi itulah hakikatnya, dengan keramaian penduduk dan suasana kampung yang seadanya. Bagaimanapun adalah juga idea-idea yang dikemukakan dalam memperelokkan lagi perjalanan PTA sekolah ini. Dari mencari jalan untuk menambah tabung PTA hinggalah kepada mengamankan suasana keselamatan, kebersihan dan kekemasan kawasan sekolah yang telahpun berusia lebih 70 tahun.

Sebagai penduduk kampung, yang pernah menjadi murid bahkan pernah mengajar dan menjadi GB di sekolah ini terasa haru juga mengikuti penerangan Guru Besar semasa mesyuarat tersebut. Saya amat setuju dengan pendapatnya, selain meningkatkan mutu pembelajaran murid-muridnya, aspek keselamatan, kesejahteraan dan keelokan sekolah dari segi suasana persekitaranpun patut diambil perhatian. Hal inilah juga yang menjadi perbincangan dalam perjumpaan tersebut.

Setelah sekian lama, sekolah ini tidak dipasang pagar, murid-murid dan siapa saja bebas dari arah mana pun boleh masuk dan keluar ke kawasan sekolah. Selain dari keadaan bebas seperti itu, persekitaran tidak nampak sempurna bila terdapat kawasan yang berlopak dan tinggi rendah dihadapan sekolah. Musim hujan telah tiba, keadaan ini lebih mengharukan lagi. Dari aspek inilah timbulnya persoalan keselamatan, kesejahteraan dan kesempurnaan murid-murid dan warga sekolah seharusnya ditangani. Meningkatkan mutu pembelajaran mungkin sama pentingnya dengan keselamatan, kesejahteraan dan kesempurnaan bagi warga sekolah.

Saya rasa bangga sekolah ini telah banyak kemajuan dari segi fizikalnya, lihat saja keadaan bangunannya. Terima kasih Kementerian Pendidikan.

Perokok Merokok

Suatu usaha yang murni jelas telah dilakukan oleh kerajaan dengan mengharamkan dibeberapa tempat awam seperti di hospital, jabatan-jabatan kerajaan, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan tempat-tempat perkumpulan awam dari tempat merokok - besigup. Bahkan di bas, taksi, resturan pun sudah tidak kelihatan lagi orang merokok - besigup. 

Bagaimanapun dalam hal seumpama ini, memang ada segelintir orang yang tidak mahu menilai akan kebaikan dan keikhlasan kerajaan melarang merokok ditempat-tempat yang disebutkan tadi. Kerana itu mungkin saja terdapat mereka yang sembunyi-sembunyi menghisap rokok kerana tagih atau kemarok yang amat sangat. Sebagai contoh guru-guru atau mereka yang diberi tanggungjawab memata-matai pelajarnya terlepas pandang bila ada juga pelajar-pelajarnya merokok pada waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu disekolahnya.

Sebenarnya kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kalaupun tidak menghapuskan tabiat merokok dikalangan penduduk negara ini. Rekod kesihatan dengan terang menunjukan risiko yang bakal diterima oleh perokok. Dan baru-baru ini khutbah Jumaat juga menyentuh mengenai rokok dengan menyatakan rokok itu haram. Kerana rokok berupaya membunuh perokok.

Sebagai renongan bagaimana ah, seorang guru mengajar murid atau pelajarnya supaya jangan merokok kerana memudarat kesihatan, sedang dirinya sendiri pencinta rokok. Dan bagaimana pula seorang khatib membaca khutbah menyatakan rokok itu telah jelas haramnya, tetapi khatib sendiripun penggemar rokok? Seorang bapa melarang anaknya merokok dengan menyatakan rokok itu pembaziran dan sia-sia, sedangkan dirinya tanpa rokok sukar untuk menyelesaikan kerja.


Thursday 20 May 2010

Sharifah Aini - Selimut Putih / Keagungan Tuhan

 Akan Ada Hujungnya

teringat aku detik perpisahan
wajahmu tenang
tiada riak dan alun
bagai danau sepi
aman dan damai
kalimah syahdu kau ucap jelas dan ikhlas
meski kami sedu dan sebu
kau tetap pergi jua
dan tiada bicara antara kita

teringat aku patah perkataan
perjalanan akan ada hujungnya
bila tiba saatnya
tiada siapa menduga walau apapun keadaan
akan kembali kepadaNya

benarlah katamu
bagi yang leka perjalanan masih jauh
bagi yang waspada perjalanan menghitung waktu
lantas akan diapakan
baki usia yang ada?
yang belum pasti berapa tinggalnya

setelah sekian lama
sewaktu usiaku mungkin sedikit
akupun mengingatimu
alangkah beruntungnya
kalau kematianku sesyahdumu
yang tiada riak dan alun
yang syahdunya jelas dan ikhlas


Abdullah Tahir

Tuesday 18 May 2010

JILBAB


Usaikan Rambutmu

rerambutmu ikal mayang
harumnya semerbak 
sewangi kesturi pagi
jangan kau tayang
mahkota auratmu
ada mata memerhati
ke mana kau pergi
hati-hati sayang
petualang matanya rembang
disetiap simpang
dari petang ke petang
menunggu peluang


usaikan rerambutmu
bertudung litup
kau lebih ayu dan sopan
cukuplah wajah mulusmu
penyedap tidur
dan penganyam mimpi
para jejaka

rerambutmu ikal mayang
harumnya semerbak
sewangi kesturi pagi
jangan kau tayang
mahkota auratmu
andainya kau sayang dirimu
jadilah seperti sayyidatina Khadijah al-Kubra
jadilah seperti sayyidatina Fatimah az-Zahra
kau pasti bahagia
di dunia
kau pasti selamat
di akhirat


Abdullah Tahir
19 Mei 2010

Sunday 16 May 2010

KeAgungan Tuhan - D'lloyd

Tuesday 11 May 2010

Akan Kupahat Sejarahmu

akan kupahat
sejarahmu
betapa kau selama ini
bertugu gagah
mengharungi saat-saat sukar
yang hingga kini
kekal sebagai warisan
yang tak perlu lagi
pengenalan diri

sejarahmu
amat gemilang
kau didaulatkan
ditinta-emaskan dalam sebuah perjanjian
diarak bersama slogan keramat
di bibir para pencintamu
penulis
pemuisi
pemantun
budayawan
sasterawan
ilmuan
siapa saja yang dia wargamu

dan memangpun sebenarnya
kau adalah hak peribadi
bagi sebuah warga besar
sejak zaman berzaman
yang entah bila ujudnya
tanpa kau rayupun
siapapun tidak rela untuk tidak peduli
siapapun tidak mampu untuk menafikan kehadiranmu
lalu kau ke menara gading
hingga
ke pelosok gugusan nusantara
kau pun tidak perlukan perjuangan
bagi menegakkan identitimu
tidak juga memerlukan konsisi
bagi kehidupanmu
kerana kau punya segala kekuatan
dari setiap warga besarmu
dan di sini kau dimartabatkan
bahawa
bahasa 'Melayu' adalah jiwa bangsa


Abdullah Tahir
12 Mei 2010

Monday 10 May 2010

Hidayat
[suatu penghargaan kepada antologi Puisi Hidayat]

kau kembali lagi ke persada bangsa
membawa segala perutusan
dan dakwah
bak kuntum-kuntum harum
mewangi
membelai
dengan bahasa seni dan puitis
menikam sekujur hayat
yang mekarnya
menyiram tandus tanah pesaka tercinta

engkaukah camar-camar putih itu
yang dari kepak-kepak sayapmu
tercoret indah bahasa dakwah
terhampar di kanvas suci
mentafsir firman dan hadis
dari kalam syahdu
lalu terkuaklah kesedaran tanpa batas
membetulkan iman
menguatkan iktikad
dalam mengEsakan Allah yang maha agung

wahai Hidayat
kau adalah warisan
dari camar-camar putih
yang dari kepak-kepak sayapnya
tercoret indah bahasa dakwah
terhampar di kanvas suci
tetapan genarasi muka
walau cuma sebuah buku
antologi puisi


Abdullah Tahir
8 Mei 2010

Sunday 9 May 2010

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Selaku ahli jawatankuasa PTA saya sempat hadir dalam majlis Pertandingan Sudoku kali kedua di Sekolah Rendah Danau, Tutong pada 6 Mei yang baru lalu. Pertandingan yang disertai oleh pelajar-pelajar Tahun 6 di kawasan Tutong II itu memang mencabar keupayaan pelajar dari segi penyelesaian secara cepat dan pantas. Ada dua hal yang boleh dibanggakan dalam pertandingan ini, selain Sudoku suatu permainan bertunjangkan matematik, tetapi juga adalah kemampuan pelajar-pelajar menggunakan komputer/laptop. Ini suatu perkembangan sehat yang memacu pelajar-pelajar mengikuti kemajuan maklumat terkini sesuai dengan keadaan dunia sekarang.

Melalui perbincangan dan bual-bual santai bersama Tetamu Khas iaitu Pmk Penolong Pengarah Daerah di majlis hari itu, saya sempat menyuarakan kenapa masih berlarutan pelajar-pelajar Melayu dikaitkan dengan lemah dalam pelajaran matematik. Asas kepada pendapat ini memang ada. Saya sendiri tidak begitu baik dalam pelajaran ini. Tetapi setelah menjangkau umur yang ada sekarang saya bersetuju dalam beberapa komen PPPD itu kenapa pelajar Melayu khususnya yang bersekolah disekolah kerajaan lemah dalam pelajaran ini.

Isu ketidak-sempurnaan secara total tahap pengajaran seorang guru matematik yang menjdikan pelajar-pelajar tidak cinta dengan pelajaran ini memungkin pelajar menjadi lemah. Inipun menyangkut juga dengan kekerapan, peralatan, persediaan, suasana pembelajaran, mood, sikap dan apa saja yang menjadikan pelajar-pelajar itu menjadi seperti kata peribahasa "Tak kenal maka tak cinta".

Terasa Hebat

sejak bila kau terasa hebat
sehingga kau lupa untuk bertaubat
janganlah kau tunjukkan sikap jebat
sedangkan nasibmu belum tentu selamat
bila pertemuan diperkampungan akhirat



kau dan aku umat Muhammad
suatu waktu mengharapkan syafaat
sebelum jauh kita tersesat
jangan berlambat-lambat
kalau kanser sudah memberat
tak guna lagi penawar dan ubat
baik bersahabat dengan taubat

sejak bila kau terasa hebat
sehingga kau lupa untuk bertaubat
janganlah kau tunjukkan sikap jebat
sedang nasibmu belum tentu selamat
bila pertemuan diperkampungan akhirat

sebelum mata tertutup rapat
sebelum kerongkong rasa tersumbat
sebelum lidah bagai terpahat
sebelum badan dibungkus dibabat
sebelum kehilangan kerabat sahabat
sebelum taubat tidak terkabat
            - hebatmu tidak bertempat
            - jebatmu mendatangkan laknat
bersolat
beribadat
bermunajat
andainya kau mendapat rahmat
selamat meniti sirat
dan Allah berfirman [ surah Al-Fajr Ayat 27 - 30 ]
       "Hai jiwa yang tenang
        kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas
        lagi diredhaiNya
        Maka masuklah ke dalam jema'ah hamba-hambaKu
        dan masuklah ke dalam syurgaKu"


Abdullah Tahir
Mei 2010

Saturday 8 May 2010

Harummu Dimana-mana

disini aku berdiri
disuatu senja
merenung birai hari
meninggalkan sepi
bagai kuntum mawar
hanyut bersama surut sungai
                                                             yang entah bila kembalinya

kau kah mawar itu
yang pernah mencatat keindahan
mengukir sejarah ria
bersama kami
setiap hari
dari pagi ke dini hari
jejak hingga ke sore
di kanvas warisan
bernama 'Danau'

sayangnya
aku tidak sempat
menyematmu di dada
cuma harum dan wangimu
singgah dimana-mana
walau jejakmu tetap setia
kami yang tinggal
ada yang tak kenal
sedang kau
adalah wira-wira
berjasa
pada desa dan kota


Abdullah Tahir
Januari 2010

Sunday 2 May 2010

Tidak Seberat Manapun
 
kau bukanlah siapa-siapa
untuk tidak tunduk dengan kuasa-Nya
sedang pagi petangmu
dengan nafas dan nikmat yang kau kecapi
tidak sedikitpun rasa syukur
bertakhta dalam jasadmu
kau hanyalah tidak seberat manapun
dari sehalus debu
                                                      menanti saat untuk kembali kepada-Nya

lalu dengan apa kau penuhi
nikmat umur yang kau jalani
tanpa sujud
merendah diri
tanpa tasbih dan tahmid
memuji dan membesarkan-Nya
sedangkan fitrahnya
kau dicipta hanyalah untuk mengabdikan diri
dan beribadat kepada-Nya

kau terlahirkan dalam suci
jangan hitamkan dirimu
apabila kembali kepada-Nya



Abdullah Tahir
Mei 2010

Siti Nurhaliza - Ya Rasullulah

Harga Sebuah Sepi


dengan hanya sebuah kesepian
lalu kau lontarkan aku
dalam jarak sebuah bisu
yang memanjang
dan 
aku menjadi nanar
benar
memaksa aku beristighfar
dan beristiqamah

sedang bersepi-sepi itu
mendekatkan kita
bermunajat
bertahajjud
berkhalwat
mencari keredhaan-Nya
bernama akhirat

dan
janganlah dengan sebuah kesepian
maka kau memalingkan muka
menambah lara
bagai sebuah pelabuhan
yang tinggal bersama riak-riak air
sedang kapalnya menyongsong angin
mengejar camar-camar
yang bayangnya entah dimana?

yakinlah
harga sebuah kesepian itu
tidak untuk sebuah kebisuan
bertasbih dalam sepi
bertahmid dalam sepi
beristiqamah dalam sepi
puncaknya
terasa dalam lindungan-Nya


Abdullah Tahir

Ceritera Senja Merah


suatu waktu di senja merah
berdiri ia tanpa pasrah
menghembus nafas
bersama lapangnya dada
melontarkan fikiran terbuka
mengembara ke suatu destinasi
yang tidak bertepi
segalanya tidak kan terucap
betapa keindahan itu
milik tuhan yang esa
untuk dinikmati dan ditafsir
yang terjemahannya mengagungi pencipta-Nya

kilauan biru laut yang beralun gundah
merantai warna merah
mengapong riak-riak rindu yang kian berlalu
didadanya ada camar-camar yang syahdu
menebarkan sayapnya satu-satu
ke tempat yang dituju
menanti esok waktu
dan senja merah tetap begitu

sudahkah kau coretkan sebuah ceritera
di suatu senja merah
akan derita duka
seorang yang bernama perindu
mengemis masa silamnya yang kelabu
menghitung hari dan waktu yang kian berlalu
saat jatuhnya matahari di kaki langit
tanpa melihat kemilau laut
ia kembali mentafsir diri dari kemelut
lalu bermunajat dan menginsafi diri
pada-Nya akan kembali
membetulkan diri
menjadi manusia sejati
dan senja merah ada ceritera sendiri


Abdullah Tahir 
Februari 2006

 
Get Free 3 Column Templates Here