Saturday 30 January 2010

Sajak

Kuntum Kasih
oleh : ARA

Ketika sejambak bunga mawar menguntum
ketika itu rinduku menjelang
bunga-bunga yang indah telah layu terkulai

Ku tabur bunga dan airmata
di pusara cinta
bersemadilah jasad kasih berbunga rindu

Di pusara kasih aku berdiri
ku pohon restu dari-Mu tuhan
kenangan yang pernah bersemi mesra
menjadi pusara yang menyepi bisu
basah menjelang hujan
pada setiap kali rinduku tiba

Akan ku sirami dengan air mawar dan air mata sepi
ku pohon doa bersemilah kasih
di alam yang indah bersama suara hati

Thursday 28 January 2010

Sajak

Jangan Kau Tanyakan

kalau terlihat olehmu
malam tiada berbintang
jangan kau tanyakan
awan-awan hitam bergerak
semalaman
kerana mungkin sahaja hatimu
tiada disitu
merestui gelap yang terus membisu

siapakah yang akan peduli
andainya bintang-bintang berkelipan
menghiasi maya
sedang bulanpun malu untuk bersama
ketika awan-awan bermain
disebalik senyumannya

kalau terlihat olehmu
malam tiada berbintang
jangan kau tanyakan
awan-awan hitam bergerak
semalaman
kerana mungkin sahaja hatimu
telah penat menyimpul kasih
di dada malam yang kelam

siapakah akan peduli
andainya bintang-bintang berkelipan
menghias maya
sedang kesetiaan punggukpun
sudah terlerai
ketika awan-awan bermain
disebalik kicaunya

kalau bintang bertemu jodoh
bulan pasti menjadi saksi
pungguk mungkin sahaja menyanyi
awanlah akan menutup malunya
dan kau jangan tanyakan
siapakah walinya

Abdullah Tahir

Wednesday 27 January 2010

Sajak

Anak-Anak Haiti

anak-anak Haiti
sabar dan tabahlah
dunia tau
kau adalah puing-puing
dari runtuhan negaramu
yang sebelumnya
mencatat berbagai-bagai kisah
yang tak terungkap
oleh tangan-tangan hitam
yang jiwanya rakus
mencari sesuatu yang berdebu
merengsa dalam arus kemodenan
yang kau menjadi puing-puingnya
bersama runtuhan bangunan
dan timbunan mayat tak terkata
dari kalangan ayah ibumu
dari kalangan keluargamu
dari kalangan saudara-saudaramu
dari kalangan jiran tetanggamu
[ ingatlah bahawa Allah maha tahu
dan maha bijaksana menentukan kehendakNya ]

anak-anak Haiti
selepas ini kau akan kemana
sedang derita sedih pilu
sentiasa dikanvis dadamu
walau kau diterbangkan kedunia baru
yang janjinya membantumu
janganlupa daratan Haiti tempat lahirmu
jangan sampai kau terlupakan
kerana kau akan diimegrankan
oleh tangan-tangan kelabu
yang kau akan terpisong
terpesona dengan akal-akalan
siapa tau
generasimu akan menjadi puing-puing
tanpa daratan Haiti

Abdullah Tahir
Januari 2010

Sajak

Seorang Ibu

Ibu
andai saja jati wanitamu dapat kusalin
akan kuberikan ia kepada perempuan
bernama isteri
agar saja ia menjadi solehin
dalam sebuah syurga rumah tangga
yang asasnya terbina dari sebuah cinta
kini bermain api
dengan bicara dan gaya
mencipta sebuah neraka
dalam hidup berumah tangga

Ibu
aku terlalu cemburu
melihat keibuanmu bernama isteri
melayan bapaku suamimu
dengan wajah bersalut madu
malu dan syahdu
berbicara berbau merdu
bertingkah selembut sutera
betapa sabar dan taatnya ibu
walau bapaku suamimu berangkara
ibu tetap saja bermanis kata

Ibu
andaikata jati wanitamu dapat kusalin
akan kuberikan ia kepada perempuan
bernama isteri
agar ia menjadi muslimah
dalam hubungan suami isteri
yang asasnya terbina dari sebuah cinta
kini bermain api
dengan sikapnya mengada-ngada
tanpa peduli dirinya siapa
sebagai isteri seorang suami

Ibu
aku terlalu cemburu
melihat ketakwaanmu bernama isteri
penampilanmu terlalu ayu dan syahdu
dari rahimmu adalah aku dan kami anak-anakmu
berbangga beribukan wanitamu
seorang wanita salehin
seorang wanita muslimah

Abdullah Tahir
Disember 2009

Sajak

Penghujung Umur

hailah nasib
betapalah bebalnya
bila peumuran kepenghujungan
bukan saja tak larat membawa badan
-telinga kurang pendengaran
-mata kurang penglihatan
-lidah kurang betul sebutan
-gigi kurang gigitan
-tangan kurang pegangan-ketar-ketaran
-hidung kurang penciuman
-kaku kurang perjalanan-gagar-gagaran
-perut selalu beragaman
-liur kurang kenyamanan
tidur berlapikkan tilam bagai di papan
sering kesiangan
gelisah berpanjangan
berwirid bertahlil bertahmid pelandukan
bersembahyang entah...walang-walangan
kebetulan kedapatan pencenan
lalu
digagahi ikut berkawanan
mengaji muqadam bermula eja-ejaan
bebalnya kedapatan pencenan
huruf Quran bukan mainan
sebutan huruf bersalahan
tebal dan nipis bukan kebiasaan
di atas di bawah di depan
panjang dan pendik harkat-harkatan
kalah mengingat ganti hafalan
hari ini ingat esok lusa kelupahan
berinut waima banyak kesangkutan
digagahi jua
namanya kedapatan tua

Abdullah Tahir

Monday 25 January 2010

Terkenang-Kenang

Melihat penuntut atau murid sekolah masa kini, saya teringat zaman persekolahan yang lalu, masa itu memanglah keadaan jauh lebih berbeza dengan sekarang. Tapi yang jelas tujuan dan matlamat belajar adalah sama iaitu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mendapatkan kelulusan sebaik mungkin melalui peperiksaan dan yang pasti hasil dari persekolahan tersebut tentulah untuk mendapatkan pekerjaan apabila tiba waktunya bagi melayari kehidupan seterusnya.

Waktu itu mata pelajaran tidaklah banyak yang dipelajari, malahan buku tulis dan buku teks atau buku kerja pun tidak membebankan kami. Keadaan ini dapat dilihat sehingga keakhir-akhir tahun 70'an. Kini amat memeranjatkan, apabila awal persekolahan dibuka, pelajar diberikan senarai panjang peralatan belajar yang lengkap dengan saiz, jenis dan banyak buku yang akan digunakan dan perlu dibeli. Ini memang lah baik agar tidak tersalah beli sesuai dengan kehendak guru yang ditugaskan dalam setiap pelajarannya.

Sebagai penjaga, ibubapa berkenaan terpaksalah jua akur kehendak dalam senarai yang diberikan. Buku tulis, buku kerja dan peralatan tersebut pun dibeli. Harganya mencecah sehingga B$200.00 seorang bagi yang menuntut di sekolah menengah. Kenapa? Buku tulis yang terjual adalah mahal dan memangpun itu yang dikehendaki. Soal harga mungkin tidak jadi masalah bagi mereka yang mampu, yang penting anak-anak perlu belajar dan mematuhi kehendak sekolah. Mereka yang dari kalangan hidup sukar mungkin sahaja berdaya usaha, lebih-lebih lagi kalau terdapat anak yang ramai untuk dipersekolahkan.

Fenomena ini akan menimbulkan beberapa persoalan yang terkait dengan buku tulis, buku kerja bahkan buku teks [yang disediakan oleh pihak sekolah] berdasarkan Jadual Waktu Belajar setiap hari.

1. Pelajar-pelajar terbeban membawa peralatan sekolahnya setiap hari yang mencecah beratnya 2-3 kilogram [mungkin lebih] kerana buku tulisnya bermutu baik fikirkan saja kalau sebuah ada yang mencapai harga B$1.50 hingga B$4.00.
Bagaimanapun pelajar/murid masa kini bernasib baik kerana pergi dan balek sekolah menaiki kenderaan walaupun dekat ibubapa/penjaga masih berusaha menghantar dan menjemput mereka. Sementara yang jauh kerajaan menyediakan biasiswa kenderaan.
2. Mungkin tidak semua peralatan tersebut digunakan semasa persekolahan walaupun berjadual. Hal ini mungkin saja beberapa waktu pelajar/murid tidak belajar disebabkan keadaan-keadaan dalaman sekolah.
3. Buku kerja yang dicadangkan untuk pelajaran yang kehendaki selalunya tidak sepenuhnya digunakan. Di akhir tahun terdapat dibeberapa muka surat dan topik-topik tertentu di buku tersebut tidakpun dipelajari. Perkara ini boleh jadi juga kerana inisiatif sekolah menyediakan bahan lain yang lebih sesuai bagi menggantikan buku kerja yang ada.

Semua keadaan ini menunjukan betapa zaman telah berubah yang menuntut semua pihak perlu akur. Meskipun matlamat sama, tetapi pensesuaian masa kini semacam memerlukan pengorbanan. Kalau hendak seribu daya kalau tak hendak seribu dalih.

Sunday 24 January 2010

Sajak

Gerimis Petang

gerimis petang itu
mengingatkan aku
nafas-nafas hangatmu
menceritakan
betapa kau dilanda ombak
sampai ke gigi pantai
sering bermunajat
dalam mengejar
erti sebuah kebahagiaan
yang hakiki
tapi damparnya
tidak kau temui

camar-camar laut
tidak walang sedikitpun
apa sebenarnya hidup ini
selain terus berjuang
menyanyi dengan kepaknya
menghias remang petang
tika mentari di kaki langit
bersama kejaran ombak
mendakap pantai
lalu menggamit cemburumu
alangkah bahagianya
si camar-camar itu

gerimis petang itu
mengingatkan aku
nafas-nafas hangatmu
bercerita lagi
betapa kau dilanda ombak
lalu terdampar di gigi air
dan munajatmu pun berbisik
kebahagiaan hakiki itu hanya ada
pada jasad dan roh yang suci dan murni
bagai camar-camar laut
-bernyanyi dengan kepaknya
bagai mentari di kaki langit
-menghias remang petang
bagai ombak berkejaran
-mendkap pantai
tanpa jemu
bagaikan bertasbih dan bertahmid
mensucikan jasad dan roh
dalam mencari redha tuhan azzali
demi sebuah kebahagiaan

Abdullah Tahir

Wednesday 20 January 2010

Akal dan Pengelaman

Keberuntungan, kebahagiaan dan sebaliknya adalah fitrah hidup yang ditentukan oleh Allah yang maha berkuasa, setelah adanya usaha dan ikhtiar. Yang pipih tak kan datang melayang yang bulatpun tak akan datang bergolek. Kecuaian dan kecermatanpun belum dpat menjamin yang kita akan terlepas dari cubaan dan dugaan Allah tapi boleh saja kita mengurangkannya dengan mempergunakan akal, pengelaman dalam menjalani kehidupan kita seharian. Dalam Al-Quran misalnya banyak kisah-kisah lalu dijadikan iktibar dan pengajaran bagi memandu kehidupan kita untuk selamat di dunia dan sjahtera di akhirat.

Kisah yang terjadi dalam surat khabar baru-baru ini, apabila sebuah kerita yang diletak dan ditinggalkan depan sebuah resturan sedang enginnya masih hidup, di dalamnya pula terdapat seorang kanak-kanak merempuh masuk kesebuah resturan adalah suatu yang tidak dapat diterima akal. Andai saja tuan punya kerita itu menggunakan akal dan pengelamannya sudah pasti perkara ini tidak terjadi. Syukurlah tidak ada apa-apa jiwa yang cedera atau jadi korban. Kecuaian dan ketidak-cermatan sering mengundang sesuatu yang tidak di ingini. Tetapi kerugian sudah pasti ada. Belajarlah dari kesilapan-kesilapan seumpama ini. Malang semimangnya tidak berbau. Menyalahkan takdir semata-mata tidak harus terjadi tanpa didahului usaha dan ikhtiar.

Sunday 17 January 2010

Allah Maha Besar Kekuasaan-Nya

Membaca berita akhbar mengenai sikap seorang anak meninggalkan ayah yang sakit selepas menjalani rawatan amat menyentuh perasaan. Adakah diri ini juga akan menerima nasib seumpama itu? Dimanakah silapnya hingga seorang anak yang semasa kecilnya dibelai, dipelihara dan diberikan pendidikan tergamak melakukan kerja yang sudah pasti mendapat kemurkaan Allah.Dimanakah hilangnya perasaan hormat, kasih dan sayang seorang anak terhadap seorang ayah atau sekurang-kurangnya kepada seorang insan tua yang dalam kesakitan dan tidak berdaya

Walaupun benar seorang anak tidak minta dilahirkan ke dunia, tetapi kelahirannya amat dinanti dan diharapkan oleh seorang ibu dan ayah. Anak adalah amanah Allah. Darinya akan mewarnai alam kehidupan. Bahkan junjungan besar kita Nabi Muhammad saw amat berbangga kalau umatnya dapat memperbanyakan zuriat agar dapat bertasbih dan berbuat ibadat kepada Allah, dan mentaati serta menyayangi kedua ibu bapa. Tetapi peristiwa yang sama-sama kita tatap di akhbar baru-baru ini benar-benar menjadikan kita balik ke zaman jahiliah.

Insaflah, tanpa seorang ibu dan ayah siapalah hidup kita di dunia Allah ini. Beruntunglah seorang anak yang masih mempunyai seorang ibu atau ayah. Bayangkan betapa ramai diluar sana mereka yang kehilangan ibu atau ayah, mereka menangis dan meratap kerana ketiadaan ibu atau ayah disamping. Seorang lelaki akan menjadi seorang ayah bila ditakdir bertemu jodoh dan beranak pinak. Saat itu pasti akan tiba bila Allah mentakdirkannya.

Thursday 7 January 2010

sajak

Yang Namanya Takdir

ciptalah semahunya
peralatan moden dan canggih
penuhkan alam ini
dengan keupayaan fikiran
dengan segala kekuatan
dari sehalus atom hingga dunia tanpa sempadan
akhirnya akan ditemui
di situ kepuasan kebahagiaan kesenangan yang dicari
dan di situ akhirnya penderitaan dan kehancuran terjadi
yang rumusnya bernama takdir

tidak akan kau temui
erti kemanusiaan sejati
tidak akan tercipta
lautan keharmonian hakiki
apalagi untuk menegakkan segolong hak asasi kemanusiaan
sedang didalamnya bertimbal balas dan berkonsisi
yang berketul hitam dihati dan mati

kau lihatlah
hamparan kehidupan
dengan kanta murni saksikan sendiri
dikanvisnya dicalitkan dengan warna
ada yang lahir memang tidak upaya
ada yang lahir sempurna akhirnya tidak upaya
ada yang upaya senghaja tidak upaya
yang upaya menganiaya tidak upaya
yang sempurna ambil kesempatan ditempat tidak upaya
yang tidak upaya terus merana
tidak berusaha
sengsara di dunia
di akhirat bagaimana

tolehlah kebelakang
tefakurlah sesaat
kalau takdir sudah begitu
apalagi ditunggu
otak, mampukanlah bertindak
hati, berinsaniahlah
iman, rujuklah quran dan hadis
ugama adalah globalisasimu tanpa berkonsisi


Abdullah Tahir
Mei 2006

Tuesday 5 January 2010

sajak

Sisa Umur


Terjangkakah kau akan sisa umur ini
yang hari demi hari semakin dekat
bergerak sepantas matahari menghilang sinar dan cahaya
yang top-top hilang di sebelah barat
dan esoknya top-top lagi muncul di sebelah timur

Kau masih jua leka dengan globalisasimu
jari-jemarimu di hujung komputer
fikiran dan anganmu melilau bersama lintasan internet
meski jasadmu di sebuah bilik berkunci
tapi kau meneroka alam tanpa sempadan
tanpa bimbang waktu-waktu wajibmu
setia menanti
untuk membawamu ke alam hakiki
aku di sini menghitung waktu
bermunajat disegerakan hari penghisaban
aku pasrah
sesiapa pun antara kamu telah melupakan aku
tidak mungkin kita bertemu melalui globalisasi yang tercipta
ilmu hayat tidak terjangkau ke arah itu
hubungan aku bersama kamu terputus sudah
melainkan ilmu Khalik adalah segala-galanya.

Aku hanya ada amal jariah
aku hanya mampu meninggalkan ilmu yang murni
tapi aku gagal meninggalkan zuriat
yang doanya mententeramkan aku di alam akhirat


Abdullah Tahir
Januari 2006

sajak

Pencari Bahagia

Hidup ini
adalah sebuah pengembaraan
mencari kebahagiaan
yang belum pasti di mana?
lalu menjadilah ia sebagai kafilah
merentas tandus pasir
meninggalkan debu-debu
yang merengsa dalam panas mantari
membakar hitam jeragat kehidupan
tidak mungkin dapat berteduh
sedang langit tak segumpul pun menyimpan awan
tidak akan dapat menggapai pepohon hijau
sedang tanahnya tidak rela dijejak akar

Mana mungkin dalam kering dan tandus
badan berpeluh
sedang setitik air tidak sempat menjadi danau
kering dan retaknya tidak berbekas
dan kafilah-kafilah itu
terpaksa jua mencari kebahagiaan
mengatur jejak
dalam tandus dan kering
dalam debu panas yang merengsa
sehingga pasrah
dengan ketentuan Ilahi

Ketahuilah
dugaan dan ujian Ilahi
amat luas hikmatNya
dan
bukankah bersakit-sakit dahulu
adalah jalan ke puncak kebahagiaan
yang dicari
dengan redha Ilahi


Abdullah Tahir
September 2008

sajak

Pasrah

Hari-hari terakhir yang mungkin sesaat dua
bukanlah alasan untuk berputus asa
waima besar zarah
ia tetap berharga
untuk memulakan langkah
masih ada ruang untuk membetulkan diri
mengabdi diri kepadaNya
sedang saat terbujur kaku pun
masih diajar untuk berbicara
agar lidah fasih dan lancar
menghadapi persoalan waktu kematian
itulah kasihnya Rabbul Ghaffur

kita tidak akan mampu mengadang takdir
umpama air merempuh dan terus mengalir
lalu meninggalkan bekas-bekas yang lahir
yang sampai bila akan berakhir
hanya doa senjata terakhir
memohon kepadaNya
agar ditakhirkan

gugurkan air mata keinsafan
basahkan sejadah
dengan manik-manik ketaqwaan
yang kolamnya dari hati yang suci
mengingati Rabbul Izzati
dan basahkan bibir dengan tasbih dan tahmid
yang ladangnya dari lidah yang murni
berzikir kepada yang rahmani
pasrahlah kepadaNya
sesungguhnya
Dia amat luas Rahman dan RahimNya


Abdullah Tahir
Ogos 2008

Monday 4 January 2010

Sajak

Utusan


utusan keramat telah tiba
talinya harapan menggunung
terpacak kukuh di hati
bagai sauh menahan wangkang
biar badai berpulas gila
keramatnya sekukuh sembarani

masih juakah berdalih
mencari saksi dihamparan pasir
yang namanya padang gersang
sedang para syuhada akur
waktu-waktu bermunajat
bersepi-sepi di awal subuh
mereka tetap patuh
merendah diri

sinarnya bukan matahari
cahayanya bukan bulan
gemerlapannya bukan bintang
bukan dan tiada segala
itulah kuasa segalaNya
ikutan para mukmin
pembela
pelurus
pengaman
dan segalanya


Abdullah Tahir
2004

 
Get Free 3 Column Templates Here