Tiada Waktu
perjalanan ini bagaikan di hujung senja
tiada waktu untuk membilang saat dan minit
apalagi menghitung langkah ke depan mengejar hari
jalan-jalan berdebu terus saja menghadang pandang
matlamat dan misi semakin jauh meninggalkan diri
mampukah harapan jadi realiti
sedang antara kita terus menghitung untung dan rugi
atas nama kepentingan peribadi
tiada waktu untuk mengungkap bicara
hari demi hari berguguran bagai dedaun meredup bumi
akan ada lagikah ruang menghujah kata
sedang kesempatan yang ada disalah guna
hujah dan bicara meleburkan suasana mesra
menjurus fitnah membuahkan sengketa
menjarakkan jurang memisahkan keakraban
lalu matlamat dan misipun bertaburan
tiada waktu memulakan langkah
mengubah tuju haluan dan arah
setiap jiwa di hantui gundah
berhujah bermadah berbuah padah
kerana hati bersalut amarah
muhibbah tumpah hormatpun punah
jadilah bangsa tiada bermaruah
Abdullah Tahir
23 Oktober 2011
0 ulasan:
Post a Comment