Tuesday, 14 February 2012


Diari Kasihmu

kucari aksara-aksara cinta
dalam sebuah diari kasih
yang kita tulis bersama
melalui bait-bait syahdu
ketika kau genggam erat hatiku
dengan senyuman madu dan jelingan jerat
kau dan aku tanpa bicara apa
hanya degup jantung dan nafas
pengganti kata
sedang saat itu
rembulan dan bintang tau
merekalah saksi malam
yang dinginnya sampai ke hujung pagi

saat matahari menghadang malam
embun kasihmu telah hilang ke mana
bait-bait syahdu
dan aksara-aksara cinta
tiada lagi di diari kasihmu
yang tinggal
hanyalah degup hati yang terluka

Abdullah Tahir

Saturday, 11 February 2012

Merah Dan Basah

Di Bumi Sendiri

makna apakah petriotik
bagi mereka yang hilang rasa
- kasih sayang dan cinta -
setelah lelah menjalani kehidupan
berliku tanpa hujung yang nyata
lalu tidak terkesan
kerana jiwa yang mengkal
dan pudar

sejarah telah meminang mereka
menganyam kisi-kisi adat
di birai waktu yang panjang
bahawa tanah subur yang merata
adalah bumi mereka yang hijaunya
dinikmati seadanya
tanpa garis pisah berkanun
bebas bak burung dan haiwan
dari pohon ke pohon
dalam merawat kehidupan

kini bisakah mereka mengenderai
meruapkan semangat yang lemas
bagaikan terjaga dari tidur lena
termamai dari mimpi indah
sedang di hadapannya dituntut
menjunjung sebuah gagasan
yang namanya petriotik
mereka adalah watan yang setia
tanpa dipintapun
darah dan air mata mereka
jatuhnya memerah dan basah
di buminya sendiri

Abdullah Tahir
12 Februari 2012

Friday, 10 February 2012

Dalam Jidar Masa Yang Tak Jelas


bila saatnya kita tanam semangat jati diri
pada sebuah negara yang kita di dalamnya
tak seharusnya hanya melihat
matahari bangun sesudah subuh di sebelah timur
dan tidurnya di pangkuan malam di sebelah barat
dengan hanya menikmati kepanasan siang
dalam pijar yang menyengat
tanpa membangun binaan kuat dalam diri


kita akan di sini lagi
mengukir sejarah dalam jidar masa
yang tidak jelas
masih terentang ruang yang menentang
yang hanya dilumur oleh kekuatan lembut
dalam warna keabu-abuan
meski kita telah bersama dewasa menaiki tingkat-tingkat
melalui tangga yang tidak bergerak
sehingga lemah sendiri pada sendi yang semakin tidak kukuh
sedangkan kitalah pengisi
darah dan air matanya
denyut dan nafasnya
pada sebuah negara yang kita di dalamnya


jidar masa hanya terukir pada sebuah kanvas
yang kita cipta bersama sebagai persejarahan
suatu kesaksian yang diangkat kebenarannya
pada suatu acara yang bukan kita di dalamnya
dan kitalah penontonnya


lalu siapalah kita
pada sebuah negara yang kita di dalamnya
tanpa bersama mewarni dalam sebuah lakaran kekal
penguat segala cita dan harapan
berbangsa dan bernegara


Abdullah Tahir
11 Februari 2012

Sunday, 5 February 2012

Bukan Pintamu

junjunganku
bukan pintamu supaya kau dibesarkan
bukan pintamu supaya kau diraikan
tapi kami umatmu
rasa terpanggil membesarkanmu
rasa terpanggil meraikanmu
rasa terpanggil kerana kasih dan sayangnya kami kepadamu
betapa kau telah menerangi alam yang gelap gelita ini
menjadi terang benderang
bak malam diterangi bulan dan bintang
bak matahari membakar segala kezaliman dan khurafat
minda dan hati kami wahai junjungan
telah terbentuk dengan wahyumu
hadis dan sunnahmu telah membentur kami
membawa kami sujud kepada-Nya
sesungguhnya junjunganku
kami ingin mendapatkan syafaatmu
makanya atas nama kebesaran dan keagunganmu
menjadi tanggung jawab yang wajib untuk kami mengingati
membesar dan meraikan kelahiranmu Ya Rasullullah
kelahiranmu ke dunia ini adalah cahaya bagi kebenaran
ditengah-tengah kegelapan kezaliman dan kekufuran
marhaban Ya Rasullullah
marhaban Ya Habibullah

Abdullah Tahir
4 Februari 2012

Friday, 27 January 2012












Benang Kehidupan

benang-benang kehidupan yang berona
adalah sutera indah untuk dinikmati
kenapa harus direntangkan benang merah
di antara hitam putih perjalanan
sedang kebahagiaan perlu dibina
melalui hati cekal dan tegar
dalam mencari redha-Nya
lalu usah jauhkan diri dari-Nya

jangan pernah turutkan derita hati
kita bukanlah reja-reja yang terbuang
yang tak bertempat
masih ada ruang membetulkan diri
lorong berliku itu ujian dan ketahanan iman
kita adalah hamba pilihan-Nya
calon mendiami alam syurgawi

Abdullah Tahir

Monday, 9 January 2012

Kita Bukanlah Siapa-Siapa

kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
akan membusuk dimamah tanah dan cacing
bila waktu dan saat berdenting
bagai dedaun gugur dari ranting
dan kering

kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
membentuk wajah dan rupa
elok dipandang dan dirasa
bijak bicara dan menggoda
menutur beribu kata
yang mempesona

kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
dengan nyawa yang dipinjamkan sementara
lalu kita bernafas dan bergerak kemana-mana
menikmati alam semesta
tanpa peduli siapa menjadikan kita
kita hanya tahu dilahirkan ke dunia
dipelihara oleh ibu dan bapa
dari kecil hingga dewasa

kita bukanlah siapa-siapa
hanyalah rangka yang berbalut daging
dilengkapi dengan anggota
bernama manusia
berbeza daripada haiwan yang melata
lahir ke dunia fana
kan berakhir di alam baka
sama ada ke syurga atau neraka
bergantung pada pahala dan dosa
makanya kita bukanlah siapa-siapa
kepada yang maha pencipta
selain dari tunduk dan mengabdi kepada-Nya

Abdullah Tahir
9 Januari 2012

Sunday, 1 January 2012

Terus Melangkah dan Menapak
akan terus melangkah dan menapak ke hadapan
kiranya di belakang terpaksa di tinggalkan
bagi mencapai era baru yang tiada siapa tahu apa?
.kita tidak punya kompas penentu arah
meramal apa yang bakal terjadi
selain dari akal dan pendirian penuh yakin
bahawa kita tidak bisa bertahan selamanya
dalam kolong waktu yang mencatat seribu kenangan
hitam atau putih yang membungkus hidup
adalah sebuah pelajaran nyata untuk maju ke depan
siapakah yang bisa mengatur jalanan hidup
dengan memulakan langkah demi langkah
dengan membuka lembaran lama
sambil menyesali setiap kesilapan
sedang kesilapan dan kelalaian itu telah tercatat
sebagai sebuah dosa atas kebodohan diri
sedang DIA telah memperingati
dengan seribu cara dan tamsil
lalu di hadapan adalah ruang baru
tancapkan segala urat nadi dan tali fikirmu
bahawa dengan kebodohan lalu
tidak akan terulang lagi
dan percayalah
pelangi yang merentang warna
tak akan lahir tanpa ada air dan sinar mentari
Abdullah Tahir
1 Januari 2012

 
Get Free 3 Column Templates Here