Thursday, 20 June 2013
















Tak Akan Susur



getar hati tak pernah luntur

janji dan tekad sekali-kali tak akan susur

walau terbentur

pada Laut dan pantai

bukit dan lurah

pada bumi dan langitnya  yang biru

kitalah pewaris yang memikul amanah

penegak segala kedaulatan

berpasak

pada janji-janji melalui tutur

tasdik dalam hati

tanpa ragu

satu

bulat niat yang kental

menjunjung sabda

pada agama

negara

bangsa

dan raja





Abdullah Tahir : 20 Jun 2013

Wednesday, 29 May 2013


MENERJAH TAKDIR

di sini
pada sebuah padang rahmat
dan lembah hijau yang damai
usahlah diangankan pelangi jatuh
merentang warnanya untuk diramasi
sedang dalam gerimis hangat yang berdebupun
pola air yang menitik bukan lagi embun
yang mampu mendinginkan doa
usahlah diangankan kilauan mentari
pada setiap pundak rumput yang hijau
saat sebelum mentari mencerah alam
kerana kegersangan telah merengsakan debu-debu
mengabukan pandangan jejalan penadah harap
yang tak termampu disempoakan
meski dalam igau yang nyaman mencipta cita
dalam bugaran asa yang jitupun
tidak mungkin ternikmati manisnya janji
kerana padang rahmat dan lembah hijau ini
tak akan menyuburkan tunas dari benih yang lupus
oleh tangan-tangan yang tidak mampu menerjah takdir
selagi ada yang kelingkingnya berkait.

Abdullah Tahir : 25 Mei 2013

Tuesday, 30 April 2013



Kembali KepadaNya

hidayahkan aku memaknai syukur
setelah puas merasai segala nikmat
tanpa kurang dan cacat cela
baik masa jaga maupun di waktu tidur
hindarkan akumenggendong bangga
jangan jua akudipagari rasa takbur
kerana kutahu kudrat semakin lesu
penyakit pula sukar dilentur
walau berwaspada menjadualkan diri
siapalah kita menongkah takdir.

dalam usia menghampiri senja
dengan baki usia yang masih tersisa
akan kujalani hidup ini seadanya
selagi DIA meminjamkan nikmat umur
kutahu diri ini hanyalah sepohon tunggul
menanti waktu dan ketika akan reput jua
dimamah ulat hancur bersama tanah
lalu kembali jua kepadaNya.


Abdullah Tahir - 1 Mei 2013

Monday, 15 April 2013















Utusan Api Di Hujung Lidah

kauutus api di hujung lidah
membakar hangus rasa muhibah
hangatnya merubah mesra
lembar-lembar fitnahpun terwarna
menghias keras setiap hati yang bernanah
dengan apa lagi kaupadamkan amarah
sedang kerikil tajam memijar panas
benderangnya menjilat semua arah
tiada sezarah mengundang dingin
sekalipun tersimbah firman dan hadis
menghapus waham mainan iblis.

kauutus api di hujung lidah
bahangnya menghancurkan benar
menegakkan mungkar
kepalsuan terdedah semakin parah
menjana siksa di pintu kubur.


Abdullah Tahir - 15 April 2013

Wednesday, 10 April 2013


Seindah Kalimah Azan

sedingin mata melihat senja
sesyahdu hati mengungkap zikir
gegar kalbu mentasdik niat
berterbanganlah dosa-dosa seizin-Nya
wahai jiwa-jiwa kental berpaksi iman
selaut doa menakung pahala
tiadalah seindah kalimah azan
kumandangnya membelah angkasa
yang mampu mendamai rasa
tunduk mencari reda
bagi sebuah kemenangan sejati
yang dijanjikan-Nya
-perbetulkanlah nawaituku
-lembutkanlah lidahku
-cahayakanlah anggota wuduku
-permudahkan aku melalui siratulmustakim.


Abdullah Tahir - 10 April 2013

Sunday, 7 April 2013


Selamba Menganyam Sinis

Debur ombak menghantar wasiat
gegar tengkujuh menyengat musim
berlari bersama angin meninggal puing
puncak ombak menjilat igau
tersimbah gerun setiap hati
penjengah pantai mengintai damai,
ada wajah-wajah murka
selamba menganyam sinis
seangkuh ombak menongkah takdir
menggelek qada dan qadar
tanpa bercermin diri
bahawa
kita adalah makhluk terhisab
menjunjung kudrat dalam redha-Nya
setiap tutur dan tingkah
terwarna oleh nawaitu
penentu aras di alam akhirat.

Abdullah Tahir - 7 April 2013

Monday, 1 April 2013

Tiada Tarikh Mansuh

perjalanan tetap diteruskan
untuk sampai ke destinasi
meski antara kita telah disempurnakan perjalanannya
kita yang tinggal diberikan waktu
mengutip butir-butir amal yang tiada tarikh mansuh
selagi masih bernafas.


Abdullah Tahir
1 April 2013

 
Get Free 3 Column Templates Here