Saturday 2 March 2013

Sebuah Perjalanan

I

pucuk-pucuk mekar di taman
adalah bakal menghijaukan
bumi darussalam
harapan setiap warga
yang cintanya tumpah di persada bangsa
dalam jagat agar berdiri sama tinggi
duduk sama rendah
dan merekalah pemegang amanah
meneruskan cita-cita bangsa
melakar kejayaan
bagi sebuah wawasan idaman
pada tahun yang dijanjikan - 2035.

dalam perjalanan menempah kejayaan
yang semangatnya berkobar di dada
terlukis bayangan kepingan ijazah
dalam ranum dan riang
bersedia menempuh halangan dan dugaan
siapalah kita yang mahu mencipta mara
andai saja malang dapat di hidu
hatilah yang memilih dengan akal yang bersih
bagi menghadang kecelakaan
hanya kepada-Nyalah sebesar-besar harapan
berserah diri penuh tawakal kepada-Nya
kiranya di luar perkiraan
hanya takdir sahaja yang mendinginkan resah
yang di dalamnya terpancar segala hikmah
dan pengajaran bagi penerus kejayaan.

mereka adalah anak bangsa yang tercinta
kiranya gugurmu adalah sebuah jihad
dalam sedih dan hiba terselit rasa bangga
pada sebuah pengorbanan yang bukan rencanamu
pergilah dengan rasa tenang dan redha
kamilah pendoamu
agar rahmat bercahaya mengiringimu
dalam perjalanan ke alam abadi.

II

tuanku
adalah khalifah pemeduli
sayang tuanku kepada rakyat
adalah cinta kami kepada tuanku
tumpahnya tangis dan sebaknya tuanku
kami salinkan menjadi kesetiaan dan ketaatan
kehadapan tuanku
semoga damai tenang dan makmur
pemerintahan tuanku
karar di singgahsana
biarlah terdetik rasa sayang dan bangga kami
bergetar pada sutera hati kami - rakyat tuanku.

III

kami di sini
bertafakur sejenak
menghantar sedekah sekuntum surah al-fatihah dan doa
sebagai tanda bersama sedih dan hiba
di kalangan keluargamu.

*peristiwa di Sungai Balung, Tawau, Sabah pada 28 Februari 2013


Abdullah Tahir - 3 Mac 2013

0 ulasan:

 
Get Free 3 Column Templates Here