Kami Tetap Di sini
Berdiri di pantai yang permai ini
mengundang ingatan untuk kembali waktu lalu
kami bisa berlagu memalu rebana
bercanda seharian menikmati senja
menyedut udara dan bayu seribu wangi
melihat hamparan indah Laut China Selatan
berteduh di bawah pohon ru tumbuh beribu
mengukir beragam janji,
ombak dan laut biru tidak pernah berubah
masih seperti dulu
cuma pantai ini lemas dan sengsara
tebingnya terhakis susur berabis
bila warkah tengkujuh di bulan Disember
membawa khabar bersama gegar ombak
pada muncung ribut yang kencang menggoncang.
Kami yang setia tetap di sini
kerana kami hanya ada ini
sebuah tanah warisan penghuni sejak bernafas
enggan melepas waimah ditakdirkan tumpas,
pantai ini mengundang mimpi ngeri
kami tidak tahu setiap saat dan waktu
dari hari ke minggu, bulan ke tahun
di saat jaga atau tidur berdengkur
tidak terasa butir-butir pasir berdesir dan
susur
lanskap pantaipun tidak teratur.
Kami yang setia di sini
menunggu janji
mengekal jejak dan tapak yang terucap
bahawa akan terbina tembok batu menghadang
susur
sepanjang pantai yang ombaknya tak pernah
tidur.
23 November 2013
0 ulasan:
Post a Comment