Thursday, 28 October 2010
Sehiris Kasih Setitis Belas
aku tidak tidur saat kau menangisi laramu
rimbis airmatamu tersimbah pekat di dadaku
aku tahu gebar hatimu telah punah bernanah
kerana arjunamu hilang bersama mahkotamu
akukah yang kiranya menduduikan lelapmu
sedang sebantalpun aku masih resah sampai kepagian
aku cuma ada sehiris kasih kerana tangismu
sejuk hatiku melihat matamu mengundang rawan
aku tidak tidur saat kau menangisi laramu
hatiku bergejolak siapa kau hadir dalam hidupku
mampukah aku menongkah kau yang kepedihan
dalam suram malam yang belum ditentukan
akukah yang kiranya menduduikan lelapmu
sedang kalbuku masih terpahat pada yang satu
aku cuma ada setitis belas kerana kemanusiaanku
relakah kau berasin dengan keringatku
hanya itulah jalan hidupku
Abdullah Tahir
28 Oktober 2010
Wednesday, 27 October 2010
Geseng Rindu
kapan kaubisa jejakkan bibirmu dimuara hatiku
agar kunikmati suamnya nafas rindumu
biar benang merah hatiku hatimu bersatu
getarnya membelah dara malam yang syahdu
mari kugesengkan aura kasihmu
saat dan detik indah dikalbu berlagu
tusuklah mata hayatmu
tanpa ragu dan bisu
sepenggal malam jangan biarkan berlalu
di anjung jingga kiranya kita berpadu
degup-degup jantung dan hati aman beradu
rindu pun enggan berlalu
Abdullah Tahir
27 Oktober 2010
Sunday, 24 October 2010
Nekad
telah kucuba memintal awan
benangnya harapan berkelung di dada
menitik peluh melaut di bumi
dalam sengsara bukit kudaki jua
dalam payah hutan keredah jua
putih mata tiada relaku
putih tulang tiada mengapa
kuderatku adalah dari-Mu
fikirku adalah dari-Mu
tabahku adalah dari-Mu
dalam gelap bayang kucari
dalam siang busuk kuhidu
darahku tumpah makanan bumi
jasadku punah menambah tanah
tulangku berselerak menambah kerak
hendak jadi jadilah
Abdullah Tahir
25 Oktober 2010
Tuesday, 14 September 2010
Seharum Nouvella Visages
[ untuk sebuah susuk bernama - Sosilawati Lawiya ]
kau cipta wangi dirimu
bertebaran seharum nouvella visages
membina empayar sosilawati
hidunya melewati nusantara
kosmetik pengharum dan pencantik
terbina atas landas keluarga
bagi sebuah harap - rezeki
lewat usiamu 47 tahun
bukan mau mu
pergi dengan suatu kehilangan
tanggal 30 ogos
tiba-tiba degup jantung
dan walang bersarang
terkidu dan walang
debu jasadmu bertebaran
di sungai Ladang Gadong Tanjung Sepat
ya Allah
bukan untuk itu yang kau bina
jutawan adalah masa depanmu
adalah untuk anak-anakmu
di saat takbir dan tahmid
kau bersemadi
tanpa relamu
di saat keluargamu menunggu sabar dan harap
terlalu payah menerima khabar
bukan pintamu ditakdir begitu
tapi itulah takdir sukar ditelah
dalam kesedihan
dalam kepayahan
dalam dendam rasa
dalam amarah
kami amat merinduimu
bersemadilah dengan tenang
bersama harum nouvella visages
- Al fatihah:
Abdullah Tahir
14 September 2010
Monday, 13 September 2010
Barack Obama
Saturday, 11 September 2010
Baki Ke Puncak
Islam
penghulur salam
faham
erti kemaafan
pengertian tak bersalahan
imannya
mencari keamanan
dan kesejahteraan
Obama
mari bersama
berseloka kita
sesama manusia
lapangkan dada
timbang dan rasa
nadi bangsa
antarabangsa
bukan neraca
Amerika
atau agama saja
tapi budibicara
dan logika
bumi ini
kita kongsi bersama
atas nama tinggal sementara
sejahterakan dan elokkan
dengan peraturan dan undang-undang
jelas dan nyata
tanpa prajudis
kepunyaan siapa
lihatlah di sana dan di sini
tanah Allah jadi rebutan
sempadan terus panas
tanpa keputusan memuaskan
berpaksikan sejarah
masih ramai yang marah
tak ada resolusi yang ikhlas
tapi masih singit
dan berat sebelah
wahai para alim dan ulama
pemegang agama
pelurus Al-Quran dan Hadis
ternama
berapakah bakinya
dunia ini hingga kepuncaknya
untuk kita kembali kepadaNYA
Abdullah Tahir
11 September 2010
Friday, 10 September 2010
Aidilfitri
harumnya adalah kemenangan
bagi suatu kepertanggungjawaban
kepada hamba-hambaNYA yang soleh
kenapa ada penggemis durhaka
merayu kemenangan itu
setelah ramadanNYA dibakar hangus
dengan nafsu yang tak terbatas
mendayuskan diri dihadapannya
dengan takbir dan tahmid
serta doa kononnya syahdu
pergilah ke sisi
jangan kelabukan benang putih
yang terbina ini
dengan kemunafiqan yang nyata
untuk menuju ke taman fardausi
Abdullah Tahir
11 September 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)