Saturday, 30 January 2010

Sajak

Kuntum Kasih
oleh : ARA

Ketika sejambak bunga mawar menguntum
ketika itu rinduku menjelang
bunga-bunga yang indah telah layu terkulai

Ku tabur bunga dan airmata
di pusara cinta
bersemadilah jasad kasih berbunga rindu

Di pusara kasih aku berdiri
ku pohon restu dari-Mu tuhan
kenangan yang pernah bersemi mesra
menjadi pusara yang menyepi bisu
basah menjelang hujan
pada setiap kali rinduku tiba

Akan ku sirami dengan air mawar dan air mata sepi
ku pohon doa bersemilah kasih
di alam yang indah bersama suara hati

Thursday, 28 January 2010

Sajak

Jangan Kau Tanyakan

kalau terlihat olehmu
malam tiada berbintang
jangan kau tanyakan
awan-awan hitam bergerak
semalaman
kerana mungkin sahaja hatimu
tiada disitu
merestui gelap yang terus membisu

siapakah yang akan peduli
andainya bintang-bintang berkelipan
menghiasi maya
sedang bulanpun malu untuk bersama
ketika awan-awan bermain
disebalik senyumannya

kalau terlihat olehmu
malam tiada berbintang
jangan kau tanyakan
awan-awan hitam bergerak
semalaman
kerana mungkin sahaja hatimu
telah penat menyimpul kasih
di dada malam yang kelam

siapakah akan peduli
andainya bintang-bintang berkelipan
menghias maya
sedang kesetiaan punggukpun
sudah terlerai
ketika awan-awan bermain
disebalik kicaunya

kalau bintang bertemu jodoh
bulan pasti menjadi saksi
pungguk mungkin sahaja menyanyi
awanlah akan menutup malunya
dan kau jangan tanyakan
siapakah walinya

Abdullah Tahir

Wednesday, 27 January 2010

Sajak

Anak-Anak Haiti

anak-anak Haiti
sabar dan tabahlah
dunia tau
kau adalah puing-puing
dari runtuhan negaramu
yang sebelumnya
mencatat berbagai-bagai kisah
yang tak terungkap
oleh tangan-tangan hitam
yang jiwanya rakus
mencari sesuatu yang berdebu
merengsa dalam arus kemodenan
yang kau menjadi puing-puingnya
bersama runtuhan bangunan
dan timbunan mayat tak terkata
dari kalangan ayah ibumu
dari kalangan keluargamu
dari kalangan saudara-saudaramu
dari kalangan jiran tetanggamu
[ ingatlah bahawa Allah maha tahu
dan maha bijaksana menentukan kehendakNya ]

anak-anak Haiti
selepas ini kau akan kemana
sedang derita sedih pilu
sentiasa dikanvis dadamu
walau kau diterbangkan kedunia baru
yang janjinya membantumu
janganlupa daratan Haiti tempat lahirmu
jangan sampai kau terlupakan
kerana kau akan diimegrankan
oleh tangan-tangan kelabu
yang kau akan terpisong
terpesona dengan akal-akalan
siapa tau
generasimu akan menjadi puing-puing
tanpa daratan Haiti

Abdullah Tahir
Januari 2010

Sajak

Seorang Ibu

Ibu
andai saja jati wanitamu dapat kusalin
akan kuberikan ia kepada perempuan
bernama isteri
agar saja ia menjadi solehin
dalam sebuah syurga rumah tangga
yang asasnya terbina dari sebuah cinta
kini bermain api
dengan bicara dan gaya
mencipta sebuah neraka
dalam hidup berumah tangga

Ibu
aku terlalu cemburu
melihat keibuanmu bernama isteri
melayan bapaku suamimu
dengan wajah bersalut madu
malu dan syahdu
berbicara berbau merdu
bertingkah selembut sutera
betapa sabar dan taatnya ibu
walau bapaku suamimu berangkara
ibu tetap saja bermanis kata

Ibu
andaikata jati wanitamu dapat kusalin
akan kuberikan ia kepada perempuan
bernama isteri
agar ia menjadi muslimah
dalam hubungan suami isteri
yang asasnya terbina dari sebuah cinta
kini bermain api
dengan sikapnya mengada-ngada
tanpa peduli dirinya siapa
sebagai isteri seorang suami

Ibu
aku terlalu cemburu
melihat ketakwaanmu bernama isteri
penampilanmu terlalu ayu dan syahdu
dari rahimmu adalah aku dan kami anak-anakmu
berbangga beribukan wanitamu
seorang wanita salehin
seorang wanita muslimah

Abdullah Tahir
Disember 2009

Sajak

Penghujung Umur

hailah nasib
betapalah bebalnya
bila peumuran kepenghujungan
bukan saja tak larat membawa badan
-telinga kurang pendengaran
-mata kurang penglihatan
-lidah kurang betul sebutan
-gigi kurang gigitan
-tangan kurang pegangan-ketar-ketaran
-hidung kurang penciuman
-kaku kurang perjalanan-gagar-gagaran
-perut selalu beragaman
-liur kurang kenyamanan
tidur berlapikkan tilam bagai di papan
sering kesiangan
gelisah berpanjangan
berwirid bertahlil bertahmid pelandukan
bersembahyang entah...walang-walangan
kebetulan kedapatan pencenan
lalu
digagahi ikut berkawanan
mengaji muqadam bermula eja-ejaan
bebalnya kedapatan pencenan
huruf Quran bukan mainan
sebutan huruf bersalahan
tebal dan nipis bukan kebiasaan
di atas di bawah di depan
panjang dan pendik harkat-harkatan
kalah mengingat ganti hafalan
hari ini ingat esok lusa kelupahan
berinut waima banyak kesangkutan
digagahi jua
namanya kedapatan tua

Abdullah Tahir

Monday, 25 January 2010

Terkenang-Kenang

Melihat penuntut atau murid sekolah masa kini, saya teringat zaman persekolahan yang lalu, masa itu memanglah keadaan jauh lebih berbeza dengan sekarang. Tapi yang jelas tujuan dan matlamat belajar adalah sama iaitu untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mendapatkan kelulusan sebaik mungkin melalui peperiksaan dan yang pasti hasil dari persekolahan tersebut tentulah untuk mendapatkan pekerjaan apabila tiba waktunya bagi melayari kehidupan seterusnya.

Waktu itu mata pelajaran tidaklah banyak yang dipelajari, malahan buku tulis dan buku teks atau buku kerja pun tidak membebankan kami. Keadaan ini dapat dilihat sehingga keakhir-akhir tahun 70'an. Kini amat memeranjatkan, apabila awal persekolahan dibuka, pelajar diberikan senarai panjang peralatan belajar yang lengkap dengan saiz, jenis dan banyak buku yang akan digunakan dan perlu dibeli. Ini memang lah baik agar tidak tersalah beli sesuai dengan kehendak guru yang ditugaskan dalam setiap pelajarannya.

Sebagai penjaga, ibubapa berkenaan terpaksalah jua akur kehendak dalam senarai yang diberikan. Buku tulis, buku kerja dan peralatan tersebut pun dibeli. Harganya mencecah sehingga B$200.00 seorang bagi yang menuntut di sekolah menengah. Kenapa? Buku tulis yang terjual adalah mahal dan memangpun itu yang dikehendaki. Soal harga mungkin tidak jadi masalah bagi mereka yang mampu, yang penting anak-anak perlu belajar dan mematuhi kehendak sekolah. Mereka yang dari kalangan hidup sukar mungkin sahaja berdaya usaha, lebih-lebih lagi kalau terdapat anak yang ramai untuk dipersekolahkan.

Fenomena ini akan menimbulkan beberapa persoalan yang terkait dengan buku tulis, buku kerja bahkan buku teks [yang disediakan oleh pihak sekolah] berdasarkan Jadual Waktu Belajar setiap hari.

1. Pelajar-pelajar terbeban membawa peralatan sekolahnya setiap hari yang mencecah beratnya 2-3 kilogram [mungkin lebih] kerana buku tulisnya bermutu baik fikirkan saja kalau sebuah ada yang mencapai harga B$1.50 hingga B$4.00.
Bagaimanapun pelajar/murid masa kini bernasib baik kerana pergi dan balek sekolah menaiki kenderaan walaupun dekat ibubapa/penjaga masih berusaha menghantar dan menjemput mereka. Sementara yang jauh kerajaan menyediakan biasiswa kenderaan.
2. Mungkin tidak semua peralatan tersebut digunakan semasa persekolahan walaupun berjadual. Hal ini mungkin saja beberapa waktu pelajar/murid tidak belajar disebabkan keadaan-keadaan dalaman sekolah.
3. Buku kerja yang dicadangkan untuk pelajaran yang kehendaki selalunya tidak sepenuhnya digunakan. Di akhir tahun terdapat dibeberapa muka surat dan topik-topik tertentu di buku tersebut tidakpun dipelajari. Perkara ini boleh jadi juga kerana inisiatif sekolah menyediakan bahan lain yang lebih sesuai bagi menggantikan buku kerja yang ada.

Semua keadaan ini menunjukan betapa zaman telah berubah yang menuntut semua pihak perlu akur. Meskipun matlamat sama, tetapi pensesuaian masa kini semacam memerlukan pengorbanan. Kalau hendak seribu daya kalau tak hendak seribu dalih.

Sunday, 24 January 2010

Sajak

Gerimis Petang

gerimis petang itu
mengingatkan aku
nafas-nafas hangatmu
menceritakan
betapa kau dilanda ombak
sampai ke gigi pantai
sering bermunajat
dalam mengejar
erti sebuah kebahagiaan
yang hakiki
tapi damparnya
tidak kau temui

camar-camar laut
tidak walang sedikitpun
apa sebenarnya hidup ini
selain terus berjuang
menyanyi dengan kepaknya
menghias remang petang
tika mentari di kaki langit
bersama kejaran ombak
mendakap pantai
lalu menggamit cemburumu
alangkah bahagianya
si camar-camar itu

gerimis petang itu
mengingatkan aku
nafas-nafas hangatmu
bercerita lagi
betapa kau dilanda ombak
lalu terdampar di gigi air
dan munajatmu pun berbisik
kebahagiaan hakiki itu hanya ada
pada jasad dan roh yang suci dan murni
bagai camar-camar laut
-bernyanyi dengan kepaknya
bagai mentari di kaki langit
-menghias remang petang
bagai ombak berkejaran
-mendkap pantai
tanpa jemu
bagaikan bertasbih dan bertahmid
mensucikan jasad dan roh
dalam mencari redha tuhan azzali
demi sebuah kebahagiaan

Abdullah Tahir

 
Get Free 3 Column Templates Here