Saturday, 29 May 2010

Suatu Perintah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
apalagi kau letak dikaki
demi tugasmu berintegritilah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kenapa tidak kau junjung di kepala
demi tugasmu berwibawalah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kalau terasa berat
untuk selamat bermuafakatlah

kalau sudah tergalas di bahu
jangan lagi kau jinjing di tangan
kalau terasa ringan
elakkan dari memasang angan

kalau sudah tergalas di bahu
kau harus berintegriti
kau harus berwibawa
kau harus bermuafakat
kau tidak harus memasang angan
dalam mencari kesenangan
yang kau rancang

kalau sudah tergalas di bahu
ia suatu amanah
suatu tanggungjawab
yang menuntut suatu keikhlasan
dan kejujuran 
demi bangsa dan negara

bersyukurlah
kau adalah antara yang terpilih
untuk memegang amanah
di bahumu tergalas
suatu perintah
khalifah


Abdullah Tahir
29 Mei 2010

Friday, 21 May 2010

Akal

fahamlah
berfikir suatu hal
mencari akal
bukan senang kalau tak berakal
bila dapat akal
lagi suatu hal
adakah akal itu pukal?
kalau tak pukal
senang-senang kena sangkal
bila kena sangkal
macam buah mengkal
yang berakal pun 'mengkal hati'


Abdullah Tahir
22 Mei 2010

pukal=bernas
mengkal hati=marah dalam hati

Tidak Hanya  Pelajaran

Mesyuarat PTA yang diadakan baru-baru ini berjalan dengan sederhana dalam suasana kekeluargaan. Selain kehadiran yang tak menggalakkan memang sukar pula mendapatkan pandangan dan cadangan yang baik untuk memajukan PTA, tapi itulah hakikatnya, dengan keramaian penduduk dan suasana kampung yang seadanya. Bagaimanapun adalah juga idea-idea yang dikemukakan dalam memperelokkan lagi perjalanan PTA sekolah ini. Dari mencari jalan untuk menambah tabung PTA hinggalah kepada mengamankan suasana keselamatan, kebersihan dan kekemasan kawasan sekolah yang telahpun berusia lebih 70 tahun.

Sebagai penduduk kampung, yang pernah menjadi murid bahkan pernah mengajar dan menjadi GB di sekolah ini terasa haru juga mengikuti penerangan Guru Besar semasa mesyuarat tersebut. Saya amat setuju dengan pendapatnya, selain meningkatkan mutu pembelajaran murid-muridnya, aspek keselamatan, kesejahteraan dan keelokan sekolah dari segi suasana persekitaranpun patut diambil perhatian. Hal inilah juga yang menjadi perbincangan dalam perjumpaan tersebut.

Setelah sekian lama, sekolah ini tidak dipasang pagar, murid-murid dan siapa saja bebas dari arah mana pun boleh masuk dan keluar ke kawasan sekolah. Selain dari keadaan bebas seperti itu, persekitaran tidak nampak sempurna bila terdapat kawasan yang berlopak dan tinggi rendah dihadapan sekolah. Musim hujan telah tiba, keadaan ini lebih mengharukan lagi. Dari aspek inilah timbulnya persoalan keselamatan, kesejahteraan dan kesempurnaan murid-murid dan warga sekolah seharusnya ditangani. Meningkatkan mutu pembelajaran mungkin sama pentingnya dengan keselamatan, kesejahteraan dan kesempurnaan bagi warga sekolah.

Saya rasa bangga sekolah ini telah banyak kemajuan dari segi fizikalnya, lihat saja keadaan bangunannya. Terima kasih Kementerian Pendidikan.

Perokok Merokok

Suatu usaha yang murni jelas telah dilakukan oleh kerajaan dengan mengharamkan dibeberapa tempat awam seperti di hospital, jabatan-jabatan kerajaan, masjid-masjid, sekolah-sekolah dan tempat-tempat perkumpulan awam dari tempat merokok - besigup. Bahkan di bas, taksi, resturan pun sudah tidak kelihatan lagi orang merokok - besigup. 

Bagaimanapun dalam hal seumpama ini, memang ada segelintir orang yang tidak mahu menilai akan kebaikan dan keikhlasan kerajaan melarang merokok ditempat-tempat yang disebutkan tadi. Kerana itu mungkin saja terdapat mereka yang sembunyi-sembunyi menghisap rokok kerana tagih atau kemarok yang amat sangat. Sebagai contoh guru-guru atau mereka yang diberi tanggungjawab memata-matai pelajarnya terlepas pandang bila ada juga pelajar-pelajarnya merokok pada waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu disekolahnya.

Sebenarnya kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kalaupun tidak menghapuskan tabiat merokok dikalangan penduduk negara ini. Rekod kesihatan dengan terang menunjukan risiko yang bakal diterima oleh perokok. Dan baru-baru ini khutbah Jumaat juga menyentuh mengenai rokok dengan menyatakan rokok itu haram. Kerana rokok berupaya membunuh perokok.

Sebagai renongan bagaimana ah, seorang guru mengajar murid atau pelajarnya supaya jangan merokok kerana memudarat kesihatan, sedang dirinya sendiri pencinta rokok. Dan bagaimana pula seorang khatib membaca khutbah menyatakan rokok itu telah jelas haramnya, tetapi khatib sendiripun penggemar rokok? Seorang bapa melarang anaknya merokok dengan menyatakan rokok itu pembaziran dan sia-sia, sedangkan dirinya tanpa rokok sukar untuk menyelesaikan kerja.


Thursday, 20 May 2010

Sharifah Aini - Selimut Putih / Keagungan Tuhan

 Akan Ada Hujungnya

teringat aku detik perpisahan
wajahmu tenang
tiada riak dan alun
bagai danau sepi
aman dan damai
kalimah syahdu kau ucap jelas dan ikhlas
meski kami sedu dan sebu
kau tetap pergi jua
dan tiada bicara antara kita

teringat aku patah perkataan
perjalanan akan ada hujungnya
bila tiba saatnya
tiada siapa menduga walau apapun keadaan
akan kembali kepadaNya

benarlah katamu
bagi yang leka perjalanan masih jauh
bagi yang waspada perjalanan menghitung waktu
lantas akan diapakan
baki usia yang ada?
yang belum pasti berapa tinggalnya

setelah sekian lama
sewaktu usiaku mungkin sedikit
akupun mengingatimu
alangkah beruntungnya
kalau kematianku sesyahdumu
yang tiada riak dan alun
yang syahdunya jelas dan ikhlas


Abdullah Tahir

Tuesday, 18 May 2010

JILBAB

 
Get Free 3 Column Templates Here