Tuesday, 23 February 2010

Penggunaan Tulisan Jawi

Media Permata menerbitkan berita yang akhbar resmi kerajaan Pelita Brunei dalam memasuki usia ke-54 tahun berwajah baru mulai hari ini 24hb Februari. Tahniah. Ini suatu perkembangan baru sesuai dalam arus kemerdekaan yang telah mencapai Ke-26 tahun dengan tema Negaraku Brunei Darusalam. Dengan slogan "Membudayakan Masyarakat Bermaklumat" selama ini Pelita Brunei telah banyak berjasa kepada masyarakat yang telah merentitkan beberapa sejarahnya yang tersendiri.

Sebagai negara yang berteraskan Melayu Islam Beraja langkah Pelita Brunei menonjolkan tulisan jawi yang lebih dominan daripada tulisan rumi telah memperlihatkan kesungguhan pihak-pihak berwajib untuk mendaulatkan tulisan tersebut dipersada nasional bahkan mungkin saja keperingkat antarabangsa. Inilah uniknya "Negaraku Brunei Darussalam".

Tetapi dalam masa yang sama, mungkin saja ada beberapa pihak jabatan, bahagian yang sifatnya di bawah beberapa Kementerian NBD terlepas pandangan atau saja memalingkan penglihatan atau "malas tah ku ingau", bilamana ada terdapat beberapa tempat yang tidakpun melaksanakan hasrat murni ini. usahkan membesarkan tulisan jawi daripada tulisan rumi, bah ada yang langsung tidak bertulisan jawi. Dewan Bahasa Pustaka beberapa dekad yang lalu hingga kini sebagai institusi yang benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya dalam bidang ini telah berkali-kali melaungkan agar penggunaan tulisan jawi disamping tulisan rumi terus dipraktikkan seiring dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Sudah tentulah ketidak-ambil pusing oleh mereka yang tidak melaksanakan hal-hal seumpama ini amat dikesalkan. Perkara meletakkan tulisan jawi sebelum tulisan rumi dipapan-papan tanda bukan perkara yang berat sangat, cumanya "tepoklah dada tanya selera".

Sunday, 21 February 2010

Indahnya Tersurat


kau hadir lagi
membaharui tekad wargamu
dengan deretan rantai peristewa
dan sejumlah kegiatan pembangunan
telah mendewasakan peribumimu
bersaing di arena globalisasi

ayat-ayat keramat pun
telah terlontar
setiap kehadiranmu
menusuk minda
membakar semangat patriotik
bagai ubat perangsang
yang kerananya kepayahan
apa maunya
meski telah difikir-bahaskan
mencari inti sebenarnya
tahun demi tahun
ibaratkan air di daun keladi
tak menjadi

kau akan terus hadir lagi
bila waktunya
bersama ayat-ayat keramat
pembakar semangat
sedang peribumimu tak terangkat
lalu ia pun indah tersurat
dari tersirat
terpingit dalam lipatan sejarah



Abdullah Tahir
23 Februari 2010

Saturday, 20 February 2010

Laut China Selatan

Laut China Selatan
ombak dan anginmu
tidak pernah bohong
kesetiaanmu masih utuh
yang hari-harimu
mencumbu pantai
mengelus dedaun pesisirannya
mengimbau nostalgia
yang harumnya ke hari ini

Meski ribut tengkujuh mengganas
kau tetap tangkas
lengkas
bersama merdu ombak
dan pantaimu
adalah sebuah kanvas
yang camar-camar menjadi potretnya
dan bisiknya
adalah puput syahdu
yang tiada hentinya
lalu terwarnalah
bingkai-bingkai hati
yang harapnya
tiada siapa yang tahu

Laut China Selatan
ombak dan anginmu
tiada pernah bohong
kesetiaanmu masih utuh
tapi siapakah yang walang
menantimu
penuh debar dan gebar
yang harapnya
tiada siapa yang tahu


Abdullah Tahir
Februari 2010

Tuesday, 16 February 2010

Menyemarakkan Bulan Kelahiran
Rasulullah saw Tahun 1431H

Sempena memperingati Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, maka sejak malam 1hb Rabiulawal 1431H sehingga malam 12hb Rabiulawal nanti berkumandanglah zikir-zikir memuji rasulullah dimasjid dan disurau-surau selama 12 malam berturut-turut. Inilah uniknya umat Islam terutama disebelah timur. Amalan ini telah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, ia merupakan budaya Islam yang perlu dikekalkan. Tidak hanya berselawat bahkan berzanji dengan alunan lagu yang berbagai-bagai dibawakan oleh penzikir-penzikir yang mahir.

Walaupun lagu-lagu baru telah diperkenalkan, tetapi kalangan dari mereka yang berumur 50 ke 60 tahun ke atas masih gemar membawakan lagu-lagu lama yang namanya berbagai-bagai. Sekali sekala mendengar dan ikut serta membawakan lagu-lagu zikir lama dapat menimbulkan nostalgia. Walau apapun lagu dan irama zikir tersebut yang penting ialah penghayatan kita dalam menyemarakkan lagi suasana bulan Rabiulawal, bulan Rasul pilihan Allah diputerakan sebagai pernyataan kecintaan kita terhadapnya.

Mudah-mudahan sahaja, laluan yang dilorongkan oleh generasi tua dalam menghidupkan suasana zikir di bulan kelahiran Nabi Muhammad saw ini akan menjadi amal-ikutan oleh generasi muda dan seterusnya.

Thursday, 11 February 2010

Tanamkan Sikap Bernegara

Hari ini - 11hb Februari 2010- dalam perjalanan ke Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah diBSB; suasana sepanjang jalan nampak meriah dengan kibaran bendira negara yang telahpun dilancarkan penaikannya pada 7hb Februari yang lalu. Bendira terpasang dibangunan-bangunan pejabat kerajaan, kedai-kedai, super market, masjid-masjid dan rumah-rumah persendirian. Bahkan bendira kecil juga dipasang dibeberapa buah kenderaan, sebagai memeriahkan lagi suasana Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 26 tahun pada 23hb Februari. Kibaran bendira yang nampak megah dan indah itu dapat menaikan lagi semangat patriotik, berbangsa, beraja dan bernegara dikalangan rakyat dan penduduknya.

Melalui media massa dan elektronik kerajaan telah menguar-uarkan agar penduduk dan rakyat menaikan dan mengibarkan bendira di premis kerajaan atau swasta dan rumah persendirian sempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara ke-26 tahun, tetapi masih terdapat ramai lagi yang tidak melakukannya. Keadaan ini amat dikesalkan. Walaupun ia bukan perkara wajib, tetapi sebagai rakyat dan penduduk yang cintakan bangsa, raja dan negara, amatlah perlu berperanan sama dalam memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan negara dengan mengibarkan bendira. Bukanlah perkara yang sukar sangat untuk melaksanakannya. Dengan keadaan negara yang aman damai serta makmur ini, kenapalah kita berat sangat untuk menyahut kehendak negara? Memang benar, semangat patriotik tidak perlu ditunjuk-tunjukan, atau tidak bererti tidak menaikan bendira tidak patriotik. Tetapi dalam keadaan-keadaan seperti ini, mengapakah kita tidak buat sedangkan orang lain buat. Tidakkah ini semacam menunjukan belang siapa kita sebenarnya dalam hidup berkampung dan bernegara?

Monday, 8 February 2010

Gurindam

Gurindam Sikap

Kemuliaan itu berteraskan iman
Orang memandang terasa aman

Amalkan bertasbih dan berzikir
Allah tidak bersifat kikir

Gunakan akal daripada hati
Di situlah ditemui kemala sakti

Camah mata sifat tercela
Kerananya banyak yang merana

Apabila berfikir waras dan rasional
Maka mudahlah jadi terkenal

Bila bercakap tidak berputar belit
Itulah tandanya berhati jihad

Bercakaplah sopan dan lemah lembut
Akan terjauhlah diri dari dikelimut

Bila bercakap banyak takkabur
Di situlah banyak iblis bertabur

Apabila bercakap banyak baibun
Hatipun gelap matapun rabun

Muzakarah itu medan berhujah
Hati dan fikiran jangan pajah

Apabila hidup banyak meminta
Bersedialah untuk celaka

Bila berjanji selalu mungkir
Jadilah hidup semacam fakir

Abdullah Tahir
Februari 2006

Saturday, 6 February 2010

Sajak

Jeragat

di sini bukan lagi pelabuhan yang aman
setelah mengelus lembar-lembar kehidupan
jeragat petualang sering bertebaran
berderailah perasit didedaun kehijauan
menukar keaslian warisan

tanyalah pada peribumi
apa maunya?

di sini bukan lagi pelabuhan yang aman
kapal-kapal layar yang meriak alun
tidak terdaya untuk sampai ketujuan
maka menangislah burung-burung camar
di puncak layar
melihat juragan kehilangan arah

tanyalah pada peribumi
apa maunya?

di sini bukan lagi pelabuhan yang aman
tempat berdondang dan bernaindung
akan bisakah lagi pari-pari memintal warisan?
sedang belukar yang kental di tebing bertukar wajah
gagakpun angkuh melihat riak-riak ikan
yang bebas lepas berkawan
kini berteduh bukan maunya

tanyalah pada peribumi
apa maunya?


Abdullah Tahir
Februari 2010

Friday, 5 February 2010

Sajak



Langit Pun Biru

Kalau kelam telah berlalu
jangan kau pelok tubuhmu
awan tak akan bisu
untuk terus berlagu
 

Kalau kelam telah berlalu
jangan kau peluk tubuhmu
di situ akan ada dunia baru
yang janjinya seribu

Kalau kelam telah berlalu
jangan kau peluk tubuhmu
ada ruang untuk yang berilmu
ciptalah semau mu

Kalau kelam telah berlalu
jangan kau peluk tubuhmu
pastikanlah kau tetap di situ
kerana siang akan bersamamu

Kalau kelam telah berlalu
jangan kau peluk tubuhmu
nasibmu tidak kelabu
kerana langit telah membiru


Abdullah Tahir
Februari 2010

Thursday, 4 February 2010

Sajak

Derhaka Si Manis

itu Nakhoda Manis
yang derhakanya
berbeza
dari zaman purba
derhakanya cara bersahaja
dan berencana
meninggalkan ayahanda
dan bondanya
di mana saja
di kaki lima
di taman bunga
di rumah orang tua
di luar kota
atau di rumah derita

itu Nakhoda Manis
yang derhakanya
berbeza
dari zaman purba
katanya
tidak mengapa
mereka ada pencen tua
tak perlu dipelihara
datangkan saja pembantu setia
selesai perkara
jangan terlalu berkira
dia sendiri tak cukup masa
bersama keluarga

kesannya
air mata duka dan lara
sebak di dada
tinggal sebatang kara
derita sepanjang usia
lalu
bermonologlah ayahanda dan bonda
andangnya dulu :
....si Manis tidak terdidik ugama
....si Manis tidak menyusu dada
....si Manis diasuh pembantu saja
....si Manis selalu sendiri kerana aku sibuk sentiasa
....si Manis tiada teman bicara
....si Manis memendam rasa
....si Manis menangis kering air mata

itulah Nakhoda Manis
yang derhakanya
berbeza
dari zaman purba


Abdullah Tahir
Februari 2010

Monday, 1 February 2010

Anugerah Khalifah Kepada Rakyatnya

Titah Kebawah DYMM semasa keberangkatan baginda ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada 26 Januari 2010 sepatutnya di jadikan landasan berfikir oleh setiap orang yang ingin melihat negara bebas dari gejala tidak sehat yang semakin menjadi-jadi melanda negara dan dunia keseluruhannya. Penekanan baginda agar subjek ugama sebagai perkara "diwajibkan" dalam SPN21 adalah suatu anugerah yang tidak ternilai. Itulah suatu anugerah yang amat bermakna dari seorang khalifah kepada rakyatnya.

Selaku rakyat, saya amat teruja bila baginda bertitah "Penyakit ini [gejala sosial melanda masyarakat] bukan dimiliki oleh kanak-kanak yang ada pada masa ini saja bahkan dulu lagi akibat 50 tahun sistem tidak wajib bersekolah agama". Seandainya saja perkara ini tidak berlaku sudah pasti tidak ramai yang tidak mempunyai pendidikan agama, setidak-tidaknya pun sudah lancar membaca al-Quran, melakukan ibadah sembahyang dengan lebih sempurna dari segi bacaan dan perbuatannya.

Benarpun perkara berugama ini adalah tuntutan peribadi itu sendiri, tetapi akibat salah sistem dalam sesebuah negara sudah pasti melahirkan keadaan yang tidak diingini sebagaimana titah baginda, " Isu gejala sosial meningkat, berlaku di rumah, di dalam sekolah, di dalam pusat pengajian tinggi dan tidak hairan ditempat-tempat lain yang memang wajar ia berlaku." Baginda dengan amat yakin dan ikhlas menekankan bahawa, "Maka dalam situasi sebegini, kita masih ada satu saja lagi ubat yang masih tinggal iaitu pendidikan agama."

Makanya bagi meredakan keadaan yang semakin membimbangkan ini, tuntutan agama yang menekankan kebaikkan, kesempurnaan, kesejahteraan, kesucian, kemurnian, ketaatan, kebenaran, kesetiaan dan apajua yang berbentuk kembali kepada firman Allah dan Hadis Rasul perlulah menjadi landasan tindakan dan fikiran oleh mereka yang memegang amanah, agar sistem pendidikan sejak 50 tahun yang lalu tidak berulang.

 
Get Free 3 Column Templates Here