Thursday, 30 August 2012

Cintaku Lugu

telah ku coret bait-bait puitis menggebu
di muka buku
takkan kubisu
tatkala rindu
aku tau di bulan yang satu
ada bintang bertamu
dibawa bayu menghantar lagu
di sanalah cintaku lugu
putih dan syahdu

Abdullah Tahir
30 Ogos 2012

Di Hujung Helai Rambut

ada rindu di hujung helai rambutmu
saat kibarnya dicumbu angin
tersulamlah sebuah janji
dan lembar-lembar bicarapun terungkap manis
menghantarnya ke garis cinta
menadah seribu harap
bersama pelangi petang
pada noktah sebuah wangian syukur

Abdullah Tahir
29 Ogos 2012

Friday, 24 August 2012

Di Sini Aku Mencari Kesetiaan

pantai laut dan mentari
di sini aku membawa diri
menatap wajah-wajah setiamu
berselubung jingga
pada rembang petang
yang berulang
andai tiada mendung
dan awan kelabu
dan kau adalah saksi
pada pertemuan
yang direncanakan
bagi sebuah kesetiaan
bernama 'cinta'
dan aku kembali di sini
mencari kiranya
masih ada tanda-tanda kesaksian
yang termaterai
bahawa sama ada aku atau dia
tidak akan pernah ada pengkhianatan
di lorong bernama 'cinta'
tidak akan ada orang ketiga
di kanvas bernama 'cinta'
tidak akan ada penduaan
di kamar kasih bernama 'cinta'

pantai laut dan mentari
aku di sini membawa diri
menatap wajah-wajah setiamu
dan aku membawa derap kaki
bersama degup dan resah hati
memujuk dan memuhasabah diri
setelah birai-birai cintaku tak terhargai
setelah rinai-rinai cintanya semakin nipis
dan kestiaanku yang tersaksi olehmu
akan hanyut bersama riak-riak laut
yang entah ke mana dan di mana akhirnya

pantai laut dan mentari
aku di sini membawa diri
menatap wajah-wajah setiamu
dan aku masih mengharap sebuah kesetiaannya
andaipun cintanya pudar
tandailah dengan rasa kasih dan sayang
sepertimu -pantai laut dan mentari-
mencorak suasana indah yang harmoni

Abdullah Tahir
25 Ogos 2012 - 6 Ramadan 1433

Wednesday, 22 August 2012


Ada Pelangi Di Matamu

sayang
renyai hujan telah teduh
matahari kembali bersinar
kulihat ada pelangi di matamu
kentalkan hatimu
meniti jalan yang berliku
tapaki onak dan duri setabah mungkin
bukan senang mencari bahagia
tak juga susah untuk mencari damai
betulkan nawaitumu
bahawa hidup ini mencari redha-Nya
bahawa hidup ini penuh pahala dan dosa
bahawa akhirat adalah destinasi terakhir
sebelum penentu ke syurga atau neraka
kiranya kau terserempak silap
belum terlambat menapak kebelakang
segerakan mengucap istighfar
Dia pasti mendengar

sayang
renyai hujan telah teduh
matahari telah bersinar
jangan biarkan matamu berpelangi
fukoskan hala tujumu
bahawa hidup ini
bukan waktunya berteka-teki
tentukan dirimu ke kanan atau ke kiri
kerana waktu pantas datang dan pergi

Abdullah Tahir
23 Ogos 2012 - 4 Ramadan 1433

Monday, 20 August 2012

Keampuhan Yang Pasti

Sabtu

pastinya bersama imanku
tak akan galau di hati
meski bulan
terlepas pandang
nawaituku kepada-Nya
ampuh
mencari Lailatul Qadar

Ahad

imanku tenang setenang-tenangnya
bulat sebulat-bulatnya
kepastian telah nyata
nawaituku kepada-Nya
ampuh
menggenapinya

Isnin

dan kemenangan itu akhirnya
hadir menghijau fitrah
bersama takbir dan tahmid
pada-Nya puji dan syukur
dan nawaituku kepada-Nya
ampuh
menunggu redha


Abdullah Tahir
20 Ogos 2012 - 1 Syawal 1433

....menjelang SYAWAL


Rasa pilu meninggalkan Ramadan
tidak terasa waktu sebulan
kuberdoa kepada Ar Rahman
semoga bersua tahun hadapan

Syawal disambut penuh tawaduk
kepada-Mu hamba menunduk
jalan yang lurus minta di tunjuk
memohon yang baik dari yang busuk

Kepada rakan/sahabat yang dihormati
tangan kuhulur bersusun jari
andai ada tak menyenangkan hati
seikhlas hati mohon dimaafi

Abdullah Tahir
19 Ogos 2012 - 30 Ramadan 1433

Wednesday, 15 August 2012

Ada Ruang Yang Dimungkiri


saat sepiku mentasbihkan-Mu
hati semakin dilembuti mengabdi diri
betapa curangnya diri
diruang-ruang yang pernah dimungkiri
bagaikan tabir memisahkan hati
antara sadar dan lupa diri
saat susah Kau spontan diingati
sedang Kau adalah khalik yang hakiki
tidak pilih waktu dan hari

betapa ramadhan adalah solusi
bagi rangka membetulkan diri
dalam mencari redha-Mu
bukanlah kerana Lailatul Qadar
hati bergetar mencari ikhtiar
kiranya Qada menghampiri diri
siapalah aku menongkah takdir
selain menguatkan keimanan
dan mentauhidkan-Mu
sebagai jalan menghambakan diri

Abdullah Tahir
15 Ogos 2012

Sunday, 12 August 2012

Sisa Iman Yang Berpuing

 sujudku sewangi gaharu mengharap redha
menyungsung waktu mencari lailatul qadar
di lewat malam berselimut khusyuk menghantar doa
mampukah sisa-sisa iman yang berpuing
mewarnai hidup yang semakin runcing
sedang waktu bengap mengejar nafas
dalam saat-saat galau bagaikan tak lepas
ditaburi rasa penuh was-was
wahai yang Maha Mengetahui
jalan apakah yang patut ditujui
sedang petunjuk-Mu telah jelas

dalam puing harap yang terbaki
kuserahkan zahir dan batin
dalam sebuah jasad entah bilakah tamat
pasrahku hingga kiamat
sesungguhnya hidup dan matiku
pada-Mu ya Rabb

Abdullah Tahir - 24 Ramadan 1433/13 Ogos 2012

 
Get Free 3 Column Templates Here